Anak syarikat iCents peroleh kontrak pusat data RM34.5 juta

KUALA LUMPUR – Syarikat reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), iCents Group Holdings Bhd (iCents) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, VC Engineering Sdn Bhd menerima Surat Anugerah (LOA) bernilai RM34.5 juta.

Subkontrak berkenaan diterima daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan untuk projek pembangunan pusat data.

Skop subkontrak berkenaan melibatkan kerja-kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem penghawa dingin dan pengudaraan mekanikal (ACMV).

Ia juga merangkumi tugasan penyelenggaraan secara berterusan bagi sistem ACMV di projek pusat data berkenaan.

Projek pembangunan pusat data berkenaan mempunyai tempoh masa yang jelas dan dijangka siap sepenuhnya menjelang bulan Februari 2027. Berikutan penetapan garis masa itu, projek berkenaan dijangka akan menyumbang secara positif kepada pendapatan Kumpulan sepanjang tempoh pembinaannya.

Pengarah Urusan iCents Group Holdings Bhd, Ir Vincent Ong Mum Fei menyatakan bahawa kejayaan memperoleh subkontrak ini membuktikan keupayaan syarikat di dalam sektor kemudahan. Beliau menjelaskan bahawa ia merupakan satu perkembangan yang selari dengan objektif pasaran kumpulan.

“Perolehan subkontrak ini mencerminkan penglibatan berterusan kami dalam kerja-kerja ACMV khusus untuk pembangunan pusat data, yang kekal sebagai segmen pertumbuhan penting bagi Kumpulan,” kata Mum Fei.

Beliau berkata, komitmen penuh syarikat untuk menyiapkan skop kerja mengikut spesifikasi, garis masa, dan piawaian kualiti yang telah ditetapkan.

Melangkah ke hadapan, Kumpulan akan terus kekal fokus untuk memperkukuhkan lagi keupayaan pelaksanaan projek syarikat di pasaran. Syarikat juga berhasrat untuk terus mengembangkan kehadirannya di dalam pelbagai industri yang berspesifikasi tinggi, khususnya dalam pembangunan pusat data.

Dalam menyokong rancangan pertumbuhan masa hadapan ini, iCents sedang aktif meningkatkan keupayaan pembuatan bagi produk berkaitan bilik bersih dan juga kemudahan pusat data. Langkah fizikal ini dibuktikan melalui pelancaran rasmi fasiliti Maytech Cleanroom Manufacturing Sdn Bhd yang terletak di Mantin, Negeri Sembilan.

Bagi mengekalkan kecemerlangan, syarikat yang bergelar pakar kejuruteraan bilik bersih untuk pelbagai industri berspesifikasi tinggi seperti pembuatan semikonduktor, pengeluaran farmaseutikal dan pemprosesan minyak sawit ini akan terus mengutamakan disiplin operasi.

Pengurusan risiko yang berhemat serta kecekapan teknikal sentiasa menjadi keutamaan tatkala menjalankan projek merentasi pasaran domestik dan serantau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *