Oleh, Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

DALAM mendepani arus ekonomi dan konflik global yang semakin mencabar, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini bukan sekadar laluan alternatif, sebaliknya telah diangkat sebagai pilihan strategik yang menjadi game changer dan tunjang utama dalam menentukan daya saing negara.
Bagi memastikan Malaysia mampu melonjak sebagai negara berpendapatan tinggi, Dasar TVET Negara telah menetapkan sasaran yang cukup jelas – mencapai 35 peratus tenaga kerja mahir menjelang tahun 2030.
Walau bagaimanapun, statistik Tenaga Buruh Malaysia menunjukkan peratusan tenaga kerja mahir negara masih berlegar pada tahap 29.2 peratus.
Lebih kritikal, pasaran kerja negara didominasi oleh kumpulan pekerja separa mahir pada tahap 60.5 peratus – iaitu kumpulan yang telah memiliki kompetensi yang tinggi menerusi pengalaman, namun tidak memiliki kelayakan formal yang diiktiraf.
Untuk merapatkan jurang ini secara tuntas, negara memerlukan tambahan kira-kira satu juta tenaga kerja mahir dalam tempoh yang singkat.
Bertitik tolak dari situasi ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menggariskan Teras Strategik Ke-3: ‘Menambah Nilai Jabatan’ di dalam Pelan Strategik JPK 2026-2030 yang menggerakkan secara proaktif inisiatif program pemadanan dan pengiktirafan kemahiran, pengalaman dan kompetensi pekerja separa mahir yang layak diiktiraf sebagai tenaga kerja mahir melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
Mekanisme ini menyasarkan 60,000 pensijilan untuk tenaga kerja mahir secara keseluruhan menjelang tahun 2030.
Namun, sasaran sebesar ini tidak mungkin dicapai sendirian oleh JPK. Di sinilah terletaknya relevansi inisiatif The TVET Champions – pengiktirafan tahap tertinggi Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) yang diberikan kepada eksekutif tertinggi (C-Level) dan captain of industry sebagai salah satu inisiatif di bawah Teras Strategik Ke-2: ‘Mendepani Cabaran Baharu’, di mana antara manifestasi strategi tersebut ialah peningkatan kerjasama strategik bersama majikan dan industri.

Pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi seperti The TVET Champions, tidak seharusnya terhenti sekadar menjadi pencapaian peribadi barisan kepimpinan syarikat atau organisasi untuk dibanggakan, malah seperti yang disarankan oleh Timbalan Menteri KESUMA semasa merasmikan Majlis Konvokesyen: The TVET Champions 2026 yang berlangsung pada 30 April 2026 di The Everly Putrajaya baru-baru ini, ia seharusnya menjadi pencetus kepada snowball effect atau rantaian gelombang pengiktirafan yang lebih besar di dalam sesebuah organisasi.
Apabila nakhoda sesebuah organisasi menghargai dan melalui proses pensijilan ini, mereka berada pada hierarki terbaik untuk membudayakan pembelajaran berterusan melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM), memudahkan birokrasi dalaman dipecahkan, sekali gus membuka laluan pantas untuk kompetensi pekerja bawahan mereka juga turut diiktiraf.
Inilah peluang dan ruang untuk captain of industry menghargai dan mengiktiraf kompetensi tenaga kerja di bawah organisasi atau industri mereka selari dengan slogan baharu [R]evolusi TVET yang digagaskan oleh JPK, “mengupayakan kompetensi, memacu pertumbuhan negara.”
Sebagai langkah permulaan dan proaktif, pemimpin industri seharusnya memanfaatkan inisiatif terbaharu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Program [R]ACE-ILB (Acknowledgement of Competency & Experience) iaitu Persijilan Kemahiran Malaysia melalui PPT kepada Pekerja Industri melalui Badan Peneraju Industri.
Program strategik ini direka khusus untuk memperkasakan wibawa pekerja dengan menyasarkan 10,000 persijilan bagi mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya lima tahun pengalaman di dalam industri.
Menariknya, program ini memberi tumpuan besar kepada sektor berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (High Growth High Value – HGHV) serta sektor strategik yang lain.
Dengan adanya platfom kolaborasi bersama ILB ini, pemimpin wajar melihat ke dalam organisasi masing-masing, mengenal pasti bakat-bakat yang setia dan telah lama berkhidmat, dan menyalurkan mereka secara berkumpulan ke program [R]ACE-ILB agar pengalaman mereka diiktiraf pantas tanpa perlu kembali ke bangku latihan formal untuk dipersijilkan.
Pengurusan atasan perlu bersedia meminimumkan kekangan birokrasi dalaman. Proses pengesahan pengalaman kerja di bahagian pengurusan sumber manusia perlu dipermudahkan. Pada masa yang sama, sokongan pembiayaan harus diberikan perhatian, sama ada melalui peruntukan dalaman syarikat mahupun memanfaatkan kemudahan tuntutan (Pay and Claim) melalui HRD Corp.
Halangan birokrasi dan kekangan kewangan tidak wajar menjadi penghalang buat pekerja untuk mendapatkan pengiktirafan yang selayaknya.
Kesimpulannya, setiap inisiatif yang dilaksanakan hari ini merupakan cebisan puzzle yang dirangka teliti dalam Pelan Strategik JPK 2026 – 2030 bagi memastikan kejayaan mencapai sasaran 35 peratus tenaga kerja mahir pada tahun 2030, menjadi realiti.
Para pemimpin industri, diseru untuk bersama-samaJPK bertindak sebagai agen pemerkasaan tenaga kerja mahir dengan meletakkan matlamat persijilan kemahiran tenaga kerja organisasi masing-masing sebagai legasi dalam melonjakkan kelestarian TVET, demi membentuk masa depan Malaysia yang lebih gemilang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L