Tiga PRN amaran kepada PH berubah atau tersungkur

Oleh: Datuk Anbumani Balan

APA sebenarnya yang tidak kena dengan Pakatan Harapan (PH). Keputusan tiga pilihan raya negeri (PRN) berturut-turut di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan perlu dibaca secara naratif besar, jujur dan ikhlas.

Tersungkurnya dua tonggak utama Pakatan Harapan (PH) pada peringkat negeri dan nasional, iaitu bekas Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengejutkan landskap politik negara.

Ia melumpuhkan moral jentera PH pada malam pengumuman keputusan pilihan raya. Kekalahan dua tokoh menjadi wajah utama kempen dan strategi PH bukan sekadar kehilangan dua kerusi penting, malah memberi tamparan psikologi besar kepada penyokong serta kepemimpinan parti.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR dan Pengerusi PH Negeri Sembilan bersama Loke selaku Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan antara arkitek politik PH.

Ramai pemimpin akar umbi parti masih tertanya-tanya kenapa Aminuddin berpindah kerusi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat ke Linggi. Strategi atau langkah politik berani mati.

Kejatuhan kedua-dua pemimpin kanan ini pasti mencetuskan persoalan besar mengenai hala tuju, strategi dan keupayaan PH untuk bangkit semula selepas menerima isyarat tegas daripada pengundi.

Keberanian Loke meletakkan jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan susulan kekalahannya di DUN Chennah dan Repah adalah satu tindakan politik berprinsip serta memperlihatkan kebertanggungjawaban pemimpin terhadap keputusan rakyat.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Walaupun berdepan kempen sengit, serangan politik dan naratif mencabar sepanjang PRN, DAP masih berjaya memenangi sembilan kerusi DUN, sekali gus mengelakkan parti itu mengalami kekalahan lebih besar.

Keputusan itu bukan sahaja mempertahankan kedudukan DAP sebagai antara tonggak utama PH di Negeri Sembilan, malah berjaya menyelamatkan maruah gabungan itu di sebalik tekanan politik memuncak.

DAP masih menjadi harapan komuniti Cina. Namun berada di persimpangan politik getir menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Namun, DAP perlu berani membina jajaran pemikiran politik baharu jika mahu kekal relevan dalam landskap politik Malaysia semakin berubah.

Pendekatan terhadap pengundi Melayu tidak boleh lagi bersifat bermusim atau sekadar strategi ketika pilihan raya, sebaliknya perlu digerakkan secara konsisten, ikhlas dan berteraskan kepercayaan.

Pada peringkat Persekutuan, PH masih menerajui Putrajaya. Namun persoalan semakin kuat diperkatakan ialah sama ada pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN), benar-benar menguntungkan perjuangan PH atau sedikit demi sedikit menghakis identiti serta sokongan asalnya.

Hakikatnya, ramai penyokong tegar mula bertanya sama ada pengorbanan prinsip demi kestabilan politik akhirnya membawa keuntungan atau sebaliknya memberi ruang kepada pihak lain meraih manfaat politik.

Arah perjuangan PH dipersoal 

Kini, selepas hampir tiga tahun setengah mentadbir dalam Kerajaan Perpaduan, adakah PH masih membawa roh perjuangan sama seperti dahulu atau sudah mengubah arah perjuangannya.

Itulah persoalan perlu dijawab secara jujur kepemimpinan PH jika mahu mengembalikan keyakinan penyokong menjelang pilihan raya akan datang.

Ini kerana PRN Negeri Sembilan turut menyaksikan satu lagi kejutan politik apabila BN memilih untuk menjalin kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN).

Perkembangan ini dilihat sebagai tamparan besar kepada PH dan membuka pelbagai persoalan mengenai percaturan politik yang dibuat gabungan itu.

Keputusan PRN Negeri Sembilan wajar dijadikan pengajaran kepada PH untuk melakukan penambahbaikan politik menyeluruh yang serius, khususnya PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sudah tiba masanya PH kembali memperkasakan perjuangan asal, memperkukuh identiti sendiri, mengembalikan keyakinan akar umbi serta membina kekuatan berdasarkan prinsip dan mandat rakyat, tanpa terlalu bergantung kepada mana-mana kerjasama politik yang bersifat sementara.

Di Sabah, PH gagal muncul sebagai kuasa politik dominan dalam landskap politik negeri itu. Di Johor pula, PH hanya memenangi lapan daripada 56 kerusi, manakala BN mencatat kemenangan besar dengan 48 kerusi.

Negeri Sembilan pula membawa mesej lebih mendalam. Ketiga-tiga keputusan ini bukan sekadar statistik pilihan raya. Ia amaran politik untuk bangkit ataupun tersungkur.

PH tidak boleh lagi mentafsir setiap kekalahan kerana faktor propaganda, sentimen kaum, agama atau serangan media sosial semata-mata.

Dalam politik moden, persepsi sering mengatasi pencapaian. Jika rakyat tidak merasai manfaat dasar atau tidak memahami hala tuju kerajaan, kejayaan pentadbiran tidak akan memberi ‘dividen politik’.

PH juga perlu berani melihat kelemahan sendiri. Jangan terlalu leka dan bangga dengan naratif ‘undi popular’ tetapi hilang kuasa.

Masih wujud jurang komunikasi antara pemimpin dengan akar umbi. Masih ada budaya mempertahankan kelemahan atas nama kesetiaan.

Masih ada kecenderungan memilih calon berdasarkan pertimbangan dalaman berbanding penerimaan rakyat. Pada era pengundi semakin kritikal, pendekatan sebegini tidak lagi memadai.

Reformasi menjadi identiti PH sejak penubuhannya kini perlu memasuki fasa baharu – Reformasi 2.0. Reformasi ini bukan sekadar mengenai institusi negara, tetapi pembaharuan dalam parti sendiri.

Ia merangkumi budaya kepemimpinan, strategi komunikasi, pembangunan bakat baharu, penggunaan data pilihan raya, sehinggalah kepada proses pemilihan calon yang lebih telus dan berasaskan merit.

PH juga perlu menerima satu hakikat baharu. Pengundi hari ini tidak lagi memberikan mandat berdasarkan sejarah perjuangan, mereka memberi mandat berdasarkan prestasi semasa. Mereka tidak mengundi kerana slogan, mereka mengundi kerana keyakinan.

Masih belum terlambat untuk berubah. Namun, ruang itu semakin sempit dan mencabar. PRU akan datang tidak akan dimenangi parti paling kuat mempertahankan masa lalu, tetapi parti paling berani mengubah masa depannya.

Penulis, Datuk Anbumani Balan adalah Penganalisis politik dan perunding media bebas

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *