Oleh Editorial ND
SEREMBAN – Kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang meminta rakyat negeri itu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat memberi bayangan jelas landskap politik negara belum benar-benar stabil.
Malah, mesej yang disampaikan beliau itu bukan lagi dianggap sekadar cakap-cakap politik atau spekulasi, sebaliknya hadir terus daripada pemimpin nombor satu Negeri Sembilan sendiri di tengah kemelut hubungan politik antara parti-parti dalam kerajaan.
Berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan Pakatan Harapan (PH) di pekarangan Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Aminuddin memberi peringatan supaya rakyat dan jentera parti sentiasa berada dalam keadaan bersedia sekiranya berlaku sebarang perkembangan politik luar jangka.
“Masa sama, saya nak rakyat Negeri Sembilan bersiap sedia hadapi pilihan raya. Mereka tak puas hati lagi… pernyataan demi pernyataan dibuat seolah kita terpaksa menerima.
“Kita juga manusia. Saya juga manusia. Saya rasa tercalar, saya juga rasa hiba,” katanya di hadapan penyokong PH.
Turut hadir pada program itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Kenyataan Aminuddin itu hadir hanya sehari selepas UMNO Negeri Sembilan mengumumkan pendirian untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, namun dalam masa sama mengekalkan keputusan menarik sokongan terhadapnya sebagai Menteri Besar.
Perkembangan tersebut mencetuskan persoalan mengenai kestabilan politik Negeri Sembilan dan kemungkinan berlakunya perubahan besar dalam pentadbiran negeri sekiranya konflik antara parti-parti kerajaan terus memuncak.
Dalam nada penuh emosi, Aminuddin turut mengakui situasi yang berlaku memberi kesan peribadi kepada dirinya, namun beliau menegaskan seluruh jentera PH tidak boleh lemah atau hilang fokus.
Sebaliknya, beliau mahu kepimpinan dan akar umbi parti segera menyusun strategi politik bagi menghadapi apa juga kemungkinan selepas ini.
Menurutnya, keutamaan ketika ini ialah memperkukuhkan jentera parti dan memastikan sokongan rakyat tidak terhakis akibat serangan politik lawan.
Pada masa sama, beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila krisis politik kembali tercetus ketika rakyat sedang berdepan tekanan ekonomi dan ketidaktentuan global.
Katanya, ketika negara sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi serta membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup, masih ada pihak yang memilih untuk terus bermain politik sehingga menimbulkan ketegangan baharu.
Ucapan Aminuddin itu dilihat sebagai isyarat paling jelas setakat ini, suhu politik Negeri Sembilan semakin panas, sekali gus membuka ruang kepada kemungkinan PRN diadakan lebih awal sekiranya kemelut politik semasa gagal diselesaikan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L