SHAH ALAM – Dunia hiburan tanah air diselubungi kesedihan dengan pemergian pelakon dan penyanyi veteran, Jalil Hamid, 69, yang menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada tengah hari Isnin.
Lebih memilukan, sehari sebelum pemergiannya, Allahyarham sempat meluahkan satu hasrat yang kini disifatkan keluarga sebagai petanda pemergian, keinginan untuk memiliki sebuah kediaman baharu yang jauh daripada kesibukan kota.
Anak kelimanya, Afiqah, 33, berkongsi detik terakhir bersama bapanya yang kini menjadi kenangan paling menyentuh hati buat keluarga.
“Kami makan malam bersama malam sebelumnya. Ketika berbual, ayah beritahu dia teringin membeli rumah, tetapi tidak mahu yang dekat dengan lebuh raya. Bila dikenang semula, mungkin itu ‘rumah’ yang dimaksudkan,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21.
Menurut Afiqah, walaupun Allahyarham mempunyai masalah jantung bengkak, keadaan kesihatannya sebelum itu dilihat stabil dan tidak menunjukkan tanda-tanda kritikal.
Malah, Allahyarham masih aktif dan mempunyai pelbagai perancangan, termasuk penggambaran pada malam hari kejadian serta perjalanan ke Singapura bagi menghadiri pelancaran buku biografinya pada minggu hadapan.
Namun takdir Allah mengatasi segalanya.
“Pagi itu ibu beritahu ayah berehat selepas solat Subuh. Tetapi sekitar jam 12 tengah hari, bila diperiksa semula, ayah sudah tidak sedarkan diri,” katanya.
Afiqah yang ketika itu dalam perjalanan ke tempat kerja segera berpatah balik ke rumah sebaik menerima berita tersebut.
Lebih menyayat hati, Allahyarham sebenarnya menyimpan hasrat besar untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, namun tidak kesampaian akibat masalah kesihatan yang dihidapinya.
Walaupun begitu, beliau tetap menjalani kehidupan seperti biasa dan terus aktif dalam bidang seni yang begitu dicintainya.
Pemergian Allahyarham turut memberi kesan mendalam kepada keluarga, lebih-lebih lagi beliau baharu sahaja menyambut ulang tahun kelahiran pada 25 April lalu.
Afiqah turut berkongsi antara kenangan paling berharga ialah peluang merakamkan lagu bersama bapanya, satu momen yang kini menjadi kenangan abadi buat mereka sekeluarga.
“Saya mewakili keluarga memohon maaf jika ayah pernah mengguris hati sesiapa. Kami juga berharap semua dapat menghalalkan segala-galanya dan mendoakan yang terbaik buat beliau,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 5.50 petang Isnin dalam suasana penuh hiba, dihadiri ahli keluarga, sahabat handai serta rakan-rakan artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
Antara yang kelihatan hadir ialah M Nasir, Hattan, Afdlin Shauki, Tamimi Siregar, Tam Spider, Herman Tino serta Nabil Ahmad.
Jalil Hamid mula mencipta nama lebih empat dekad lalu dan dikenali sebagai artis serba boleh yang mampu menghidupkan pelbagai watak, daripada komedi ringan hingga drama yang menyentuh emosi.
Pemergiannya bukan sahaja kehilangan besar buat keluarga, malah meninggalkan kekosongan yang sukar diganti dalam industri seni tanah air.
Hasrat terakhirnya untuk mencari “rumah” yang tenang kini seakan membawa makna yang lebih mendalam, sebuah perjalanan pulang yang abadi, meninggalkan dunia yang penuh kenangan dan cinta daripada para peminat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L