Dihantar Belajar, Pulang Sebagai Jenazah: Misteri 61 Tikaman Ragut Nyawa Pelajar Kolej

KOTA BHARU – Perjalanan sebuah keluarga menghantar anak menyambung pengajian bertukar menjadi tragedi memilukan apabila gadis berusia 19 tahun itu ditemui maut dengan 61 kesan tikaman hanya beberapa hari selepas memulakan semester baharu.

Dalam kejadian yang menggemparkan di Kampung Padang Simah, Ketereh, mangsa, Nurfisya Zulkifly ditemui dalam keadaan mengerikan di atas jalan berhampiran kawasan sawah sekitar tengah malam.

Keadaan mayat yang dipenuhi kesan tikaman mencetuskan pelbagai persoalan, termasuk kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum dicampakkan di situ bagi mengelirukan siasatan.

Abang mangsa, Mohd Faris Zulkifly, 21, berkata, kenangan menghantar adiknya ke Kelantan pada Sabtu lalu kini menjadi detik terakhir mereka bersama.

Keluarga itu datang dari Kuala Kangsar, Perak dengan penuh harapan melihat Nurfisya memulakan semester baharu, tanpa menyangka ia berakhir dengan khabar duka yang mengejutkan.

Menurutnya, mereka menerima panggilan daripada polis sekitar jam 12.30 tengah hari yang memaklumkan mengenai kematian mangsa.

Namun, berita itu terlalu berat untuk diterima ketika itu sehingga mereka tidak sanggup mendengar penjelasan lanjut dan terus menamatkan panggilan.

Tanpa berlengah, seluruh keluarga bergegas memulakan perjalanan ke Kelantan dengan suasana diselubungi kebimbangan dan harapan agar maklumat yang diterima tidak benar.

Namun, segalanya berubah apabila mereka terbaca laporan berita ketika berada di Jeli, yang mengesahkan tragedi sebenar.

“Sebaik mengetahui apa yang berlaku, ibu dan ayah tidak dapat menahan kesedihan. Mereka menangis tanpa henti kerana terlalu terkejut dengan cara adik pergi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II, malam tadi.

Tambahnya lagi, tiada sebarang perubahan pelik ditunjukkan oleh mangsa sebelum kejadian. Malah, ketika pulang bercuti ke Perak sebelum ini, arwah sempat menyuarakan keinginan untuk menikmati pelbagai makanan kegemarannya, seolah memberi bayangan perpisahan yang tidak disedari keluarga.

Mangsa difahamkan baharu sahaja memulakan semester ketiga daripada keseluruhan tujuh semester pengajian di sebuah institusi tempatan dan dikenali sebagai seorang yang pendiam serta fokus terhadap pelajaran.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kes bunuh.

Polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur jenayah terancang berdasarkan keadaan mangsa dan lokasi penemuan mayat.

Kes ini terus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat, selain menimbulkan desakan agar pelaku segera diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Tragedi ini bukan sahaja meragut nyawa seorang pelajar muda, malah meninggalkan luka mendalam kepada keluarga yang baharu sahaja melepaskan insan tersayang untuk mengejar masa depan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *