10 rakyat Malaysia antara kru kapal ditahan Israel dalam misi ke Gaza

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia dilaporkan berada dalam enam kapal yang ditahan oleh tentera Israel ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan mereka di perairan antarabangsa.

Insiden itu melibatkan sebahagian daripada 22 kapal yang dipercayai menyertai misi kemanusiaan ke wilayah bergolak berkenaan sebelum dipintas dan dinaiki tentera Israel.

Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan penglibatan rakyat Malaysia dalam insiden tersebut, dengan Ketua Pengarahnya, Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan, semua individu terbabit berada di kapal yang berasingan.

Menurut beliau, antara rakyat Malaysia yang dikenal pasti ialah Zainal Rashid Ahmad yang berada di kapal Arkham III, selain Osman Zolkifli dan Jihan Alya Mohd Nordin di kapal Eros 1.

Beliau berkata, beberapa lagi rakyat Malaysia turut berada di kapal Bianca BCN, Freia, Marea dan Esplai, menjadikan keseluruhan enam kapal yang membawa warganegara Malaysia terlibat dalam kejadian tersebut.

Insiden berkenaan dilaporkan berlaku ketika kapal-kapal itu sedang belayar di perairan antarabangsa dalam usaha menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza sebelum dipintas oleh tentera Israel untuk pemeriksaan lanjut.

Setakat ini, status terkini semua individu yang terlibat belum diperincikan, termasuk sama ada mereka ditahan secara rasmi atau dibenarkan meneruskan perjalanan.

Pihak berkuasa dan organisasi berkaitan dijangka terus memantau perkembangan semasa, manakala usaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan dan keselamatan rakyat Malaysia terbabit sedang giat dijalankan.

Insiden ini turut mengundang perhatian pelbagai pihak memandangkan ia melibatkan misi kemanusiaan antarabangsa serta keselamatan orang awam di kawasan konflik.

Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *