Dua kereta api bertembung di Jakarta, tujuh maut puluhan cedera

BEKASI (Jakarta) – Sekurang-kurangnya tujuh maut dan puluhan lagi cedera selepas dua kereta api bertembung malam tadi di luar ibu negara Indonesia, Jakarta.

Jurucakap syarikat kereta api milik kerajaan, KAI, Anna Purba memaklumkan kepada televisyen tempatan pada awal pagi tadi, tujuh mangsa telah disahkan maut dalam tragedi itu, manakala 81 lagi cedera.

Beliau berkata, pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan dua penumpang yang masih terperangkap dalam keadaan hidup dalam runtuhan gerabak.

Seorang mangsa yang terselamat menggambarkan detik-detik mengerikan selepas sebuah kereta api jarak jauh merempuh tren komuter yang sedang berhenti, menyebabkan penumpang terperangkap dalam gerabak yang remuk.

“Saya fikir saya akan mati,” kata Sausan Sarifah, 29, kepada AFP dari katilnya di Hospital RSUD Bekasi, di mana beliau dirawat akibat patah tangan dan luka dalam di paha.

Katanya, dia dalam perjalanan pulang dari tempat kerja apabila tren dinaikinya berhenti di Stesen Bekasi Timur, kira-kira 25 kilometer dari Jakarta.

“Semuanya berlaku terlalu pantas, dalam sekelip mata. Ada dua pengumuman dari tren komuter. Semua orang sudah bersedia untuk turun, kemudian tiba-tiba kedengaran bunyi lokomotif yang sangat kuat.

“Tiada masa untuk keluar dan semua orang tertindih di dalam tren, bertindih antara satu sama lain. Saya tidak tahu keadaan orang di bawah saya.

“Saya bimbang akan mati akibat lemas dalam kesesakan manusia dan risau ada yang terperangkap di bawah mungkin tidak terselamat. Syukur saya berada di atas, jadi saya dapat diselamatkan dengan cepat,” katanya.

Menurut jurucakap operator kereta api KAI, Franoto Wibowo, sebuah teksi dipercayai melanggar tren komuter di salah satu lintasan, menyebabkan tren itu berhenti di landasan sebelum dilanggar kereta api lain.

Di stesen berkenaan, keadaan menjadi kelam-kabut selepas kejadian, dengan petugas penyelamat menjerit meminta silinder oksigen ketika ambulans beratur panjang dengan lampu berkelip.

Seorang wartawan AFP di lokasi melihat mangsa dibawa keluar dari runtuhan menggunakan pengusung sebelum dimasukkan ke dalam ambulans, ketika ratusan orang awam memerhati dalam keadaan terkejut.

Ketika usaha menyelamat diteruskan untuk mengeluarkan lebih ramai mangsa yang terperangkap, Timbalan Speaker Parlimen, Sufmi Dasco Ahmad berkata, jumlah korban mungkin meningkat.

“Melihat kepada proses pemindahan yang masih berlangsung, kemungkinan jumlah mangsa akan terus meningkat,” katanya kepada pemberita di lokasi.

Franoto memaklumkan kepada Kompas TV, anggota tentera, bomba, agensi mencari dan menyelamat negara serta Palang Merah turut membantu operasi pemindahan.

Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri berkata, kereta api jarak jauh itu merempuh gerabak terakhir khas wanita dalam tren komuter berkenaan.

Semua mangsa berada dalam tren komuter, manakala semua lebih 240 penumpang dalam kereta api satu lagi telah dipindahkan dengan selamat, menurut Anna Purba.

Perlanggaran itu menyebabkan ‘kerosakan besar pada beberapa gerabak tren’, kata agensi mencari dan menyelamat Jakarta dalam satu kenyataan.

“Kejadian ini menyebabkan beberapa penumpang cedera, dan beberapa mangsa dilaporkan terperangkap di dalam gerabak akibat hentakan kuat perlanggaran,” tambah kenyataan itu.

Agensi berkenaan berkata pasukan penyelamat sedang menjalankan proses pemindahan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa daripada struktur gerabak yang remuk.

Kemalangan kereta api besar terakhir di Indonesia berlaku pada Januari 2024 di Jawa Barat, yang mengorbankan empat kakitangan dan mencederakan lebih 20 mangsa.

Kemalangan pengangkutan bukan perkara luar biasa di Indonesia, sebuah negara kepulauan besar di mana bas, tren dan juga pesawat sering berusia dan kurang penyelenggaraan.

Pada 2015, 16 orang terbunuh apabila sebuah tren komuter merempuh sebuah van di lintasan jalan di Jakarta. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *