WASHINGTON/ISLAMABAD – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan Iran boleh menghubungi Washington pada bila-bila masa sekiranya mahu berunding bagi menamatkan konflik yang telah berlarutan hampir dua bulan.
Beliau menegaskan sebarang rundingan hanya boleh diteruskan jika Iran bersetuju untuk tidak memiliki senjata nuklear, yang disifatkan sebagai syarat utama perjanjian.
Perkembangan itu berlaku ketika usaha damai antara kedua-dua negara dilihat semakin sukar selepas rundingan terbaharu gagal mencapai kata sepakat, selain pembatalan lawatan wakil AS ke Islamabad.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi, dilaporkan mengadakan siri rundingan dengan negara perantara termasuk Pakistan dan Oman sebelum dijadual bertemu Presiden Rusia, Vladimir Putin, bagi meneruskan usaha diplomatik.
Konflik berkenaan yang tercetus sejak Februari lalu telah mengorbankan ribuan nyawa serta memberi kesan besar kepada ekonomi global, termasuk peningkatan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan.
Dalam masa sama, Iran terus menuntut Amerika Syarikat menarik balik sekatan termasuk sekatan maritim sebagai prasyarat kepada rundingan, manakala Washington mahu mengehadkan program nuklear serta pengaruh ketenteraan Tehran di rantau itu.
Walaupun gencatan senjata sementara dilaksanakan, tiada persetujuan muktamad dicapai setakat ini, sekali gus mengekalkan ketegangan di Asia Barat. — BERNAMA
Berita ini diolah semula oleh Siti Khadijah Manudin, pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L