Najib tarik balik Titah Adendum, kekal di Penjara Kajang

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini, berhubung semakan kehakimannya berkaitan Titah Adendum.

Ini bermakna, bekas Ahli Parlimen Pekan berusia 73 tahun itu tidak lagi meminta mahkamah untuk membolehkannya menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun di rumahnya.

Memetik Sinar Harian sebagai melaporkan, melalui notis daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co bertarikh 2 April lalu, firma guaman berkenaan memaklumkan kepada mahkamah, Najib selaku perayu berhasrat untuk menarik balik rayuan berkenaan.

Pada 28 April 2025, Mahkamah Persekutuan menetapkan prosiding pendengaran rayuan selama dua hari bermula 1 Julai tahun sama.

Serentak dengan prosiding itu, Peguam Negara memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum.

Titah Adendum tersebut dipercayai diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, berhubung sabitan kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Panel hakim turut membenarkan rayuan Peguam Negara terhadap keputusan berhubung notis usul Najib bagi mengemukakan keterangan baharu bertarikh 3 Disember 2024.

Keterangan baharu itu termasuk afidavit anak Najib, Datuk Mohd Nizar, yang memuatkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya daripada Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, namun dokumen itu tidak boleh digunakan tanpa perkenan Sultan Pahang.

Mahkamah membuat keputusan tersebut selepas mendapati tujuh persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Peguam Negara dalam permohonan itu adalah isu baharu yang belum pernah diputuskan serta melibatkan kepentingan awam.

Terdahulu, pada 6 Januari 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan perintah supaya kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif yang dipohon ialah supaya responden atau salah seorang daripada mereka mengemukakan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap beliau.

Najib juga memohon supaya jika titah itu benar wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka diarahkan melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah.

Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dan telah memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sebelum ini, pada 3 Julai 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *