WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Sabtu, seorang pegawai ditembak dalam insiden pada Majlis Makan Malam Wartawan Rumah Putih di Washington, DC, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Seorang pegawai ditembak, tetapi terselamat kerana dia memakai jaket kalis peluru yang sangat bagus.
“Dia ditembak dari jarak yang sangat dekat dengan pistol yang sangat kuat, dan jaket itu berfungsi dengan baik. Saya telah bercakap dengan pegawai itu dan dia dalam keadaan baik,” kata Trump pada sidang akhbar.
Kenyataan itu dibuat selepas presiden dan Wanita Pertama AS, Melania Trump, dibawa keluar daripada acara tahunan di Washington Hilton susulan insiden berkaitan keselamatan.
Trump berkata suspek membawa pelbagai senjata, tinggal di California dan menyifatkannya sebagai ‘sangat sakit’.
Laporan media menyebut suspek dikenali sebagai Cole Thomas Allen, 31.
Presiden berpendapat suspek bertindak sendirian dan tidak menolak kemungkinan beliau ialah sasaran dalam insiden itu.
Ketika ditanya sama ada kejadian itu boleh dikaitkan dengan perang di Iran, Trump berkata beliau tidak berpandangan begitu, namun tidak menolak sebarang kemungkinan. – BERNAMA-ANADOLU
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L