ALOR GAJAH – Seorang pemandu bas ekspres direman empat hari oleh Mahkamah Majistret kerana memandu secara berbahaya dalam keadaan dipercayai mabuk selepas disahkan positif dadah.
Suspek lelaki berusia 53 tahun itu sebelum ini ditahan polis selepas hadir memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah sekitar jam 12 tengah hari, sebelum dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.
Perintah reman sehingga Jumaat itu dikeluarkan Majistret Dr. Teoh Shu Yee bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar, berkata ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif bahan terlarang.
“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 15 April lalu kira-kira jam 3.50 pagi ketika suspek yang mempunyai pengalaman 10 tahun memandu bas sedang membawa 13 penumpang dari Ipoh, Perak ke Johor Bahru,” katanya.
Menurut beliau, rakaman tular menunjukkan suspek memandu hanya menggunakan sebelah tangan dalam keadaan tidak stabil, sekali gus mengundang kebimbangan terhadap keselamatan penumpang.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Kompleks Mahkamah Alor Gajah kira-kira jam 9 pagi bagi proses permohonan reman.
Berita ini diolah semula oleh Fatin Sajidah Fathuldin. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L