JOHOR BAHRU – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengakibatkan kematian empat sekeluarga dalam kemalangan di Simpang Renggam, ditahan semula untuk disiasat mengikut kesalahan membunuh.
Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh berkata, suspek sebelum ini direman selama dua hari bermula 2 Jun dan tempoh reman disambung sehari lagi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, selepas tamat tempoh reman tersebut, suspek telah diberikan jaminan polis sebelum ditahan semula bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Permohonan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan dibuat di Mahkamah Kluang esok. Pada masa sama, siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih diteruskan berdasarkan rakaman video tular yang menunjukkan kenderaan terbabit dipandu pada kelajuan tinggi dan secara melulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam Isnin lalu di Kilometer 27, Jalan Renggam–Simpang Renggam, empat sekeluarga yang menaiki sebuah Toyota Vios, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memandu sebuah Mercedes-Benz A250 secara melulu dan berbahaya bersama sebuah BMW 530e yang dipandu abangnya berusia 22 tahun.
Bagaimanapun, pemandu BMW berkenaan dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dalam perjalanan ke hospital.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila BMW 530e itu hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan merempuh beberapa kenderaan lain termasuk sebuah Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira serta sebuah lagi Mercedes-Benz.
Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian dan tindakan lanjut terhadap individu yang terlibat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L