KUALA LUMPUR – Manforce Group Bhd., penyedia perkhidmatan pengurusan pekerja asing komprehensif, melancarkan prospektus bagi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd yang dijangka mengumpul kira-kira RM30.40 juta.
Dana berkenaan akan diperoleh menerusi penerbitan 79.99 juta saham baharu pada harga IPO 38 sen sesaham, sekali gus menjadikan modal saham terbitan diperbesarkan kepada 399.98 juta saham.
Daripada jumlah hasil IPO itu, sebanyak RM14.74 juta diperuntukkan bagi pengembangan operasi melalui penambahan kuota pengambilan pekerja baharu, RM4.64 juta untuk peningkatan sistem teknologi maklumat (IT) dan operasi, RM6.32 juta bagi modal kerja, manakala baki RM4.7 juta untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Pengarah Urusan Manforce Group, Datuk Wong Boon Ming, berkata hasil IPO itu akan digunakan untuk meningkatkan kapasiti pengurusan pekerja, memperkukuh sistem digital serta menambah baik kecekapan operasi.
Beliau berkata kumpulan itu menyasarkan pengembangan agresif selepas penyenaraian dengan rancangan menambah kira-kira 6,000 pekerja baharu di bawah pengurusan, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap tenaga kerja asing di negara ini.
“Ketika ini, syarikat menguruskan hampir 6,000 pekerja asing dan merancang menambah kira-kira 5,000 kuota baharu selain sekitar 1,000 kuota sedia ada bagi perkhidmatan buruh manual, sekali gus menjadikan pengembangan itu sebagai pelan pertumbuhan utama selepas penyenaraian,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat di sini, hari ini.
Manforce Group menyediakan empat segmen utama perkhidmatan iaitu pengurusan pekerja asing, perkhidmatan buruh manual, pengurusan asrama serta aktiviti pegangan pelaburan dan perniagaan lain.
Bagi pengurusan pekerja asing, syarikat menawarkan penyelesaian sumber manusia dan penggajian, sokongan pentadbiran, latihan, kebajikan serta penyelesaian berkaitan imigresen untuk pekerja asing yang diambil di bawah kuota pelanggan yang diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Selain itu, Manforce turut menyediakan perkhidmatan buruh manual meliputi kerja pembersihan, sanitasi, pembuatan dan pembinaan yang dilaksanakan secara kontrak atau projek menggunakan tenaga kerja tempatan serta pekerja asing di bawah kuota syarikat.
Syarikat juga menyediakan perkhidmatan pengurusan asrama bagi memastikan pekerja asing pelanggan ditempatkan dalam keadaan yang mematuhi keperluan serta peraturan berkaitan.
Dengan penyenaraian di Pasaran ACE, Manforce menyasarkan untuk memperkukuh kedudukan dalam industri pengurusan tenaga kerja serta memanfaatkan peluang pertumbuhan melalui digitalisasi dan pengembangan kapasiti operasi.
Dari segi sektor, Manforce memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan, dengan sektor perkhidmatan menyumbang lebih separuh daripada portfolio pelanggan, diikuti sektor pembuatan sekitar 30 hingga 40 peratus, manakala selebihnya dalam sektor pembinaan.
Berdasarkan anggaran industri, syarikat menguasai kira-kira 0.3 peratus bahagian pasaran dengan menguruskan sekitar 6,000 daripada kira-kira 2.1 juta pekerja asing berdaftar di Malaysia, sekali gus menunjukkan ruang pertumbuhan yang masih luas.
Permohonan IPO itu dibuka bermula hari ini hingga 21 April 2026, manakala Manforce dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities pada 6 Mei 2026.
M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO berkenaan, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd dilantik sebagai Penasihat Kewangan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L