Delegasi Tertinggi Iran Tiba di Pakistan untuk Rundingan Penentu dengan AS

ISLAMABAD – Delegasi kanan Iran tiba di Pakistan semalam bagi menyertai rundingan penting bersama Amerika Syarikat (AS), yang dilihat sebagai detik kritikal dalam menentukan hala tuju konflik serantau sama ada menuju penyelesaian atau terus memuncak.

Menurut laporan media Iran, delegasi tersebut diketuai Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf serta dianggotai beberapa tokoh utama negara termasuk Menteri Luar Abbas Araghchi, Setiausaha Majlis Pertahanan Tertinggi Ali Akbar Ahmadian, Gabenor Bank Pusat Abdolnasser Hemmati dan beberapa ahli Parlimen kanan.

Kementerian Luar Pakistan mengesahkan ketibaan rombongan itu di Islamabad, sambil memaklumkan rundingan dijangka bermula dalam masa terdekat dengan Pakistan bertindak sebagai pengantara utama.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menyifatkan dialog antara Tehran dan Washington itu sebagai rundingan “hidup atau mati”, dengan kejayaannya dilihat penting untuk menukar gencatan senjata sementara kepada perjanjian damai yang berkekalan.

“Ini adalah saat yang amat kritikal. Dunia sedang memerhati, dan hasil rundingan ini boleh menentukan hala tuju keamanan serantau serta kestabilan global,” katanya dalam ucapan kepada rakyat Pakistan.

Rundingan itu berlangsung susulan pengumuman gencatan senjata dua minggu antara Iran dan AS awal minggu ini, selepas konflik ketenteraan selama beberapa minggu yang telah menggoncang Asia Barat, mengganggu bekalan tenaga global serta laluan perkapalan utama termasuk Selat Hormuz.

Pihak Iran menegaskan bahawa sebarang rundingan rasmi hanya akan diteruskan sekiranya Washington menerima beberapa prasyarat utama, termasuk jaminan keselamatan, pengurangan sekatan ekonomi serta komitmen AS untuk mengelakkan eskalasi lanjut di rantau berkenaan.

Sementara itu, delegasi AS dijangka diketuai oleh Naib Presiden JD Vance, menandakan tahap penglibatan paling tinggi antara kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu.

Penglibatan Pakistan sebagai pengantara dilihat penting memandangkan hubungan baiknya dengan kedua-dua pihak, serta peranannya dalam memudahkan gencatan senjata sementara yang dicapai baru-baru ini.

Langkah keselamatan ketat telah dilaksanakan di sekitar ibu negara Pakistan menjelang rundingan itu, dengan pihak berkuasa menutup beberapa jalan utama dan meningkatkan kawalan di kawasan diplomatik.

Penganalisis antarabangsa menyifatkan rundingan di Islamabad sebagai ujian besar kepada usaha diplomasi dalam mengekang konflik yang berisiko merebak serta memberi kesan meluas kepada ekonomi dan keselamatan global.
 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *