Tekanan Terhadap Rafizi Meningkat, Aktivis dan Pengasas PKR Adakan Piket

KUALA LUMPUR – Tekanan agar Rafizi Ramli mengundurkan diri daripada arena politik semakin ketara apabila sekumpulan aktivis serta pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan piket di hadapan pejabat Invoke Solutions miliknya di Sungai Besi semalam.

Perhimpunan itu dipimpin oleh aktivis politik Faizan Mohd Nor bersama pengasas PKR, Ng Lum Yong dengan penyertaan puluhan individu yang membawa mesej jelas mendesak Ahli Parlimen Pandan itu supaya bersara sepenuhnya daripada politik.

Dalam masa sama, Faizan turut memaklumkan satu memorandum akan diserahkan kepada Rafizi sebagai langkah rasmi bagi menyatakan tuntutan agar beliau mengambil keputusan berundur.

Dalam satu kenyataan, Faizan mendakwa Rafizi telah gagal sebagai ahli politik dan menteri, justeru perlu mengambil tanggungjawab dengan berundur demi kestabilan negara.

“Cukup-cukuplah porak-perandakan negara ini demi cita-cita politik kamu, Rafizi. Selepas gagal menunaikan janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan sebagai Menteri Ekonomi, kamu perlu bertanggungjawab dengan bersara,” katanya.

Sebelum ini, Faizan turut menasihatkan Rafizi supaya bersara selepas pelbagai pihak melabelkannya sebagai menteri yang gagal serta liabiliti kepada partinya sendiri.

Menurutnya, bekas Timbalan Presiden PKR itu dianggap gagal menunaikan janji, malah mendakwa ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) berasa tertipu dengan janji yang dibuat sebelum PRU-15.

Sementara itu, Lum Yong mendakwa Rafizi merupakan antara menteri paling gagal sejak dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada Disember 2022 sebelum meletakkan jawatan pada Jun 2025.

Bagaimanapun, Rafizi sebelum ini mendakwa wujud naratif tersusun bagi melabelkan dirinya sebagai ‘menteri paling gagal’ yang kini giat dimainkan di pelbagai platform sejak kebelakangan ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *