Oleh Siti Khadijah Manudin
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan harga diesel yang didakwa mencecah sekitar RM6.02 seliter, dan menyifatkan ia sebagai tidak selari dengan kos sebenar pasaran.
Naib Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata berdasarkan anggaran harga minyak mentah global sekitar USD100 setong, kos diesel sepatutnya berada pada lingkungan RM4.50 hingga RM4.80 seliter selepas mengambil kira kos penapisan, logistik, cukai serta margin industri.
Beliau mempersoalkan lebihan kira-kira RM1.30 bagi setiap liter yang menurutnya tidak dijelaskan kepada rakyat.
Menurutnya, penggunaan diesel yang tinggi dalam sektor logistik, pengangkutan, industri dan pertanian memberi kesan langsung kepada peningkatan kos barangan serta tekanan terhadap ekonomi rakyat secara keseluruhan.
“Setiap kenaikan diesel bukan hanya memberi kesan kepada individu, tetapi memberi impak berantai kepada keseluruhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Irwan turut membangkitkan isu kenyataan kerajaan berhubung stok simpanan minyak negara yang mencukupi, dan mempersoalkan rasional kenaikan harga ketika bekalan didakwa stabil.
Beliau juga menyentuh perbezaan pelaksanaan subsidi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, serta mempersoalkan konsistensi dasar kerajaan dalam menangani isu ketirisan bahan api.
Sehubungan itu, PERKASA menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai formula penetapan harga bahan api, struktur harga semasa serta mengambil langkah mengurangkan kos pentadbiran sebelum membebankan rakyat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L