MIRI – Jenazah Dr Ainul Baroah Kamaruddin dan juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, dua daripada lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing hari ini.
Selesai urusan di Jabatan Forensik Hospital Miri yang bermula 4 pagi, kedua-dua jenazah dibawa ke Masjid Jamal Ad-Din, Taman Jelita, Taman Tunku di sini untuk disembahyangkan.
Solat jenazah yang diadakan selepas solat Subuh itu diimamkan Imam Bahagian Miri Ustaz Mohamad Ardy Putera Zainudin dan disertai lebih 300 jemaah termasuk ahli keluarga kedua-dua mangsa.
Bapa Kapten Zainol, Bee Sham Ahmad dan bapa Dr Ainul, Kamarudin Salleh, dalam ucapan selepas solat jenazah, merakamkan penghargaan kepada jemaah yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada anak mereka.
Kedua-duanya turut meluahkan rasa sedih atas kehilangan anak masing-masing, namun reda dengan ketentuan Ilahi.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Jamal Ad-Din Bujang Julaihi berkata ini merupakan kali pertama jemaah masjid berkesempatan menunaikan solat jenazah bagi dua insan yang disifatkan wira kerana khidmat dan pengorbanan mereka kepada masyarakat Sarawak.
“Inilah kali pertama bagi kita di sini, apatah lagi mereka adalah wira yang menabur bakti di Miri.
“Mereka akan dirindui di Miri, khususnya oleh penduduk di Ulu Baram yang menerima khidmat mereka,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Jemaah kemudian memberikan penghormatan terakhir sebelum kedua-dua jenazah dibawa ke Lapangan Terbang Miri pada 6.15 pagi.
Jenazah Dr Ainul dijadual diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 8.30 pagi untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Kelantan.
Jenazah Kapten Zainol pula dijadual diterbangkan menerusi perkhidmatan MASkargo dengan penerbangan Malaysia Airlines pada 12.10 tengah hari.
Tiga lagi mangsa ialah jururawat Debra Moset dan Jessie Paya Jok serta penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry.
Mengikut jadual pengurusan jenazah hari ini, jasad Debra dituntut pada 6.15 pagi sebelum dijadual diterbangkan ke Kuching menggunakan perkhidmatan Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd pada 9 pagi.
Jasad Alexson pula dijadual dituntut pada 8 pagi, manakala jenazah Jessie pada 12.30 tengah hari. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
