KLANG – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meluangkan masa menziarahi keluarga seorang penunggang motosikal yang maut dalam nahas dipercayai melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah di sini, baru-baru ini.
Dalam lawatan yang turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Aedy Fadly Ramli, beliau bertemu balu mangsa, Nor Nadia Abdul Majid bagi menyampaikan ucapan takziah serta sokongan moral kepada keluarga.
Mangsa, Amirul Hafiz Omar, 33, terkorban dalam kejadian yang berlaku pada Ahad lalu.
Menurut Loke, selain menyantuni keluarga, beliau turut menghulurkan bantuan kewangan peribadi sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib yang menimpa mereka.
“Tiada apa yang mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, apatah lagi bagi seorang isteri yang kini terpaksa meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menzahirkan rasa simpati mendalam serta berharap keluarga mangsa diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, pemandu mabuk, R. Saktygaanapathy, 28, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh mangsa dalam kejadian jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Selain itu, lelaki berkenaan turut mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan iaitu memasukkan dadah ke dalam badan. Mahkamah menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta penyediaan laporan patologi.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L