Oleh: Dr. Nurul Nadirah Abu Hasan dan Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid

SETIAP menjelang Aidilfitri, lebuh raya utama negara pasti dipenuhi kenderaan yang pulang ke kampung halaman. Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan lonjakan trafik mencecah 3.49 juta kenderaan sehari di lebuh raya utama negara pada hari puncak Aidilfitri 2026.
Tradisi balik kampung telah sekian lama menjadi simbol paling kuat sambutan Syawal oleh masyarakat di negara ini.
Namun, sejak kebelakangan ini, selain pulang beraya bersama keluarga, muncul satu fenomena “staycation” yang semakin ketara dalam kalangan masyarakat apabila ramai mengambil peluang cuti panjang Aidilfitri untuk ke destinasi pelancongan dalam negara.
Fenomena “staycation” di musim perayaan merujuk kepada kecenderungan masyarakat memilih untuk bercuti secara santai di kawasan tempatan tanpa melakukan perjalanan jauh, khususnya ketika cuti panjang perayaan.
Beraya sambil bercuti
Fenomena beraya sambil bercuti ini mencerminkan perubahan gaya hidup masyarakat moden yang semakin menghargai masa berkualiti bersama keluarga.
Selepas menjalani ibadah puasa Ramadan dan persiapan Aidilfitri, ramai melihat percutian sebagai ruang untuk berehat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam suasana yang tenang dan lebih santai.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pendekatan ini membolehkan individu dan keluarga menikmati masa berkualiti bersama orang tersayang sambil meneroka destinasi menarik di sekitar tempat tinggal mereka.
Dalam masa yang sama, trend ini memberi impak positif kepada perkembangan pelancongan domestik. Statistik menunjukkan perjalanan pelancongan dalam negara terus meningkat dengan jumlah perbelanjaan domestik melebihi RM100 bilion setahun.
Angka ini membuktikan rakyat Malaysia sendiri merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan industri pelancongan negara.
Musim perayaan seperti Aidilfitri sebenarnya mempunyai potensi besar sebagai pemangkin pelancongan domestik.
Tempoh cuti yang panjang, mobiliti rakyat yang tinggi serta suasana perayaan yang meriah menjadikan Syawal antara musim perjalanan terbesar dalam negara setiap tahun.
Jika dimanfaatkan secara strategik, fenomena ini mampu merancakkan ekonomi tempatan, khususnya di kawasan destinasi pelancongan.
Bagi pengguna atau pelancong domestik, trend beraya sambil bercuti membuka peluang untuk merancang perjalanan yang lebih bermakna bersama keluarga.
Namun, perancangan yang bijak amat penting bagi mengelakkan kesesakan perjalanan serta kos percutian yang meningkat pada musim perayaan.
Tempahan awal penginapan, pemilihan destinasi yang kurang sesak serta perancangan perjalanan yang fleksibel boleh membantu memastikan pengalaman percutian lebih selesa.
Pelancong domestik juga digalakkan meneroka destinasi baharu yang kurang dikenali seperti kampung warisan, kawasan eko-pelancongan atau produk pelancongan komuniti.
Selain mengelakkan kesesakan di destinasi popular, pendekatan ini turut membantu menyokong ekonomi masyarakat tempatan.
Pakej pelancongan Aidilfitri
Para pengusaha destinasi pelancongan pula perlu memanfaatkan musim perayaan dengan menawarkan peluang besar dan mempelbagaikan produk pelancongan yang berteraskan budaya tempatan.
Pakej pelancongan Aidilfitri boleh merangkumi pengalaman menikmati makanan tradisional, aktiviti rumah terbuka, persembahan seni budaya serta lawatan ke kampung yang masih mengekalkan tradisi masyarakat.
Pendekatan ini bukan sahaja menarik pelancong domestik, malah mampu memperkenalkan kekayaan budaya Malaysia kepada pelawat antarabangsa.
Pengusaha hotel dan inap desa juga boleh menawarkan pakej khas keluarga sempena Aidilfitri seperti bufet makanan tradisional, aktiviti kanak-kanak bertemakan raya atau program komuniti bersama masyarakat setempat.
Di peringkat dasar pula, agensi seperti Tourism Malaysia boleh memanfaatkan trend ini sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh pelancongan domestik.
Promosi pengalaman “beraya di destinasi pelancongan” boleh diperkasa melalui pelaksanaan kempen komunikasi pemasaran digital yang bersepadu, di samping menjalin kerjasama strategik dengan pemain industri pelancongan.

Dalam masa sama, pendekatan pelancongan berasaskan komuniti juga wajar diperkasakan dengan penglibatan aktif masyarakat tempatan. Kampung-kampung tradisional yang masih mengekalkan suasana rumah kayu, makanan warisan dan budaya gotong-royong sebenarnya mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan budaya yang autentik.
Bagi memperkukuh segmen pelancongan mesra Muslim pula, institusi seperti Islamic Tourism Centre boleh memperkenalkan pakej pelancongan yang menonjolkan pengalaman budaya dan nilai Islam sepanjang musim Syawal.
Program lawatan ke masjid bersejarah, pengalaman rumah terbuka Aidilfitri atau aktiviti komuniti boleh menjadi pengalaman unik yang sukar ditemui di destinasi lain.
Pendekatan ini juga selari dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan negara melalui kempen nasional seperti Tahun Melawat Malaysia 2026.
Keunikan sambutan Aidilfitri di Malaysia dengan tradisi rumah terbuka, kepelbagaian makanan serta budaya kunjung-mengunjung sebenarnya merupakan daya tarikan yang boleh dipromosikan kepada pelancong antarabangsa.
Meraikan kebersamaan
Hakikatnya, Syawal bukan sekadar mengenai pulang ke kampung halaman, tetapi mengenai pentingnya meraikan kebersamaan melalui pengeratan hubungan sesama insan sama ada di rumah keluarga atau di destinasi pelancongan.
Dalam dunia yang semakin pantas dan mencabar, pilihan antara balik kampung atau “staycation” semakin menjadi norma baharu dalam sambutan Syawal, khususnya dalam kalangan generasi masa kini.
Jika dimanfaatkan dengan bijak oleh pelancong, pengusaha industri dan pihak kerajaan, fenomena ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman perayaan masyarakat, malah mampu menjadi pemangkin penting kepada perkembangan ekonomi negara berasaskan pelancongan domestik. – ND
Dr. Afiqah Kamarul ialah Pensyarah Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
