Tabung Haji umum dividen 3.5 peratus, tertinggi dalam tempoh 8 tahun

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus merekodkan jumlah tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, agihan itu melibatkan RM3.22 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.

“Agihan ini lebih tinggi berbanding 3.25 peratus bagi tahun 2024, mencerminkan prestasi kewangan yang lebih baik.

“TH terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi simpanan Islam utama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Agihan Keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, agihan keuntungan itu ditetapkan selepas mengambil kira zakat sebanyak 2.577 peratus berjumlah RM95.3 juta, bagi pihak pendeposit, kepada Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN).

TH mencatat jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM4.64 bilion pada 2025, berbanding RM4.56 bilion pada 2024.

Aset pelaburan meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio berterusan dengan mengekalkan struktur alokasi aset yang seimbang.

“Pengurusan kos yang berdisiplin serta pengurusan portfolio berhemat di bawah kerangka Alokasi Aset Strategik (SAA) adalah antara penyumbang utama kepada prestasi TH tahun ini.

“Senario ekonomi tempatan yang kian bertambah baik turut memberi impak positif,” katanya.

Pendapatan tetap mewakili 53 peratus daripada jumlah pendapatan, kekal sebagai penyumbang utama, diikuti ekuiti sebanyak 34 peratus.

Hartanah menunjukkan peningkatan, manakala pelaburan pasaran wang turut mencatat prestasi memuaskan.

Sebanyak 86 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dijana melalui pelaburan domestik, mencerminkan pertumbuhan ekonomi negara yang sihat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *