Oleh: Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay

Bahagian 1: Lenyap dari Tahanan, Muncul Seribu Misteri
PADA pagi 27 Februari 2008, suasana di Singapura berubah sekelip mata. Negara kota yang terkenal dengan sistem keselamatan ketat itu dikejutkan dengan satu berita yang hampir sukar dipercayai – seorang tahanan berprofil tinggi, Mas Selamat Kastari (MSK) dilaporkan berjaya meloloskan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road.
Lebih mengejutkan, individu tersebut bukanlah tahanan biasa. MSK merupakan anggota kanan rangkaian militan Jemaah Islamiah (JI), individu yang dikaitkan dengan pelbagai rancangan serangan berprofil tinggi di rantau Asia Tenggara.
Kehilangannya bukan sekadar insiden keselamatan, sebaliknya ia mencetuskan gelombang kebimbangan serantau.
Dalam tempoh beberapa jam, berita itu merebak ke seluruh dunia. Bagaimana seorang tahanan berisiko tinggi boleh “hilang” dari sebuah pusat tahanan yang dikawal rapi? Soalan itu mula menghantui bukan sahaja pihak berkuasa Singapura, malah komuniti keselamatan antarabangsa.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, namun bayang MSK tidak juga ditemui. Sebaliknya, misteri semakin menebal.
Pelbagai teori mula timbul. Sebahagiannya masuk akal, sebahagian lagi hampir mustahil untuk dipercayai. Ada yang mendakwa keseluruhan insiden itu hanyalah naratif yang direka bagi menutup kematian MSK dalam tahanan.
Ada pula yang yakin beliau telah berjaya melarikan diri ke Indonesia melalui laluan laut yang tidak dikesan. Tidak kurang juga yang percaya MSK sebenarnya telah mati dalam pelariannya, sama ada akibat kecederaan, kelaparan atau dibunuh.
Namun, satu teori terus berlegar dan menjadi perhatian: MSK masih hidup… dan bersembunyi di Malaysia. Persoalannya, siapakah sebenarnya lelaki ini sehingga kehilangan dirinya mencetuskan ketakutan sedemikian?
Mas Selamat Kastari bukanlah nama yang asing dalam radar keselamatan serantau. Beliau dilahirkan pada 23 Januari 1961 di Singapura dan merupakan anak bongsu daripada 10 beradik.
Kehidupan awalnya tampak biasa iaitu bekerja sebagai juruteknik di Singapore Bus Service selama hampir dua dekad, berkeluarga dan membesarkan lima anak.
Namun, di sebalik kehidupan normal itu, tersembunyi satu perjalanan yang membawa beliau ke dunia ekstremisme.

Sejak tahun 1987, MSK mula terdedah kepada ideologi Salafi Jihadi melalui program sulit yang dianjurkan oleh kumpulan Jemaah Islamiah (JI) di Johor Bahru. Pendedahan itu bukan sekadar sementara. Ia menjadi titik perubahan dalam hidupnya.
Pada Disember 1989, beliau secara rasmi berbai’ah kepada Abdullah Sungkar, pengasas dan pemimpin utama JI. Dari situ, penglibatannya semakin mendalam dan serius.
Sedekad kemudian, pada 1 Januari 2000, MSK dilantik sebagai Ketua Wakalah JI Singapura iaitu satu jawatan yang mengukuhkan peranannya dalam rangkaian militan tersebut.
Sepanjang penglibatannya dalam JI, MSK bukan sekadar penyokong ideologi, beliau dilatih sebagai operator lapangan.
Latihan yang dilaluinya merangkumi pelbagai kemahiran ketenteraan iaitu dari teknik ikhtiar hidup di hutan, serang hendap, pergerakan malam hinggalah kepada penyamaran. Lokasi latihan termasuk kawasan pedalaman di Jerantut, Pahang serta Gunung Pulai di Johor. Namun, latihan di Malaysia hanyalah permulaan.
MSK turut menjalani latihan ketenteraan lanjutan di Afghanistan, termasuk di Kem Torhan pada tahun 1993 dan 1998. Di sana, beliau didedahkan kepada penggunaan pelbagai jenis senjata berat, daripada rifle dan sniper kepada grenade launcher dan senjata anti-pesawat.
Lebih membimbangkan, beliau juga mengikuti kursus pembuatan bahan letupan seperti IED dan C4.
Pada tahun 2001, latihan diteruskan di Kashmir, memperkukuhkan lagi kemahiran tempurnya. Jelas, MSK bukan sekadar anggota biasa. Beliau adalah aset berbahaya dengan latihan antarabangsa.
Menjelang akhir 1990-an, peranan MSK semakin aktif dalam operasi perancangan.
Pada tahun 1998, beliau bersama beberapa anggota JI lain diarahkan melakukan pemantauan ke atas kemudahan ketenteraan Amerika Syarikat di Sembawang serta lokasi hiburan yang sering dikunjungi anggota tentera laut AS di Singapura.
Rakaman video yang dikumpulkan bukan sekadar untuk risikan tempatan, ia diserahkan kepada wakil Osama bin Laden di Afghanistan.
Dua tahun kemudian, pada 2000, MSK terlibat dalam misi pemantauan lebih meluas, termasuk Pangkalan Udara Paya Lebar, Kedutaan AS di Orchard Road, Singapore American School dan Lapangan Terbang Changi.
Semua maklumat itu akhirnya diserahkan kepada Dr. Azhari Hussin, pakar bom JI yang terkenal. Ancaman yang dibina bukan lagi bersifat teori, tetapi sudah berada di ambang pelaksanaan.
Pada 9 Disember 2001, operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa Singapura dan Malaysia menggempur rangkaian JI. Ramai anggota ditahan, namun MSK berjaya meloloskan diri. Beliau akhirnya melarikan diri ke Johor sebelum menyusup ke Thailand.
Di Pattaya, satu rancangan berani dirangka iaitu merampas sebuah pesawat dari Bangkok ke Singapura dan melancarkan serangan ala 11 September terhadap sasaran penting di republik itu.
Namun, rancangan tersebut terbongkar sebelum sempat dilaksanakan apabila gambar-gambar mereka disiarkan oleh pihak berkuasa Singapura.
Disebabkan diburu dan terdesak, MSK dan kumpulannya melarikan diri semula ke Malaysia, merancang perjalanan ke Indonesia melalui laluan Satun, Langkawi, Pulau Pinang hingga ke Medan. Bagaimanapun, di Indonesia, kehidupannya menjadi semakin tidak menentu.
Beliau berpindah-randah antara Batam, Karimun, Tanjung Pinang dan Pekanbaru. Dua kali ditahan polis Indonesia kerana menggunakan dokumen palsu, malah pernah cuba melarikan diri dengan terjun dari bangunan tiga tingkat menyebabkan kedua-dua kakinya patah.
Namun akhirnya, pada 3 Februari 2006, MSK diserahkan semula kepada pihak berkuasa Singapura. Beliau ditahan di bawah perintah keselamatan selama dua tahun di Pusat Tahanan Whitley Road.
Dan, di situlah kisah ini sepatutnya berakhir, tetapi dua tahun kemudian – lelaki ini hilang…
Bersambung…
Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay ialah Timbalan Ketua Polis Negara
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L