Dari Meja Pengarang
ADA sesuatu yang jelas tidak kena dengan cara sesetengah pemimpin UMNO menjawab penolakan bekas pemimpin parti terhadap pelawaan menyertai program Rumah Bangsa.
Sepatutnya, apabila seseorang menolak pelawaan, jawapan paling mudah dan matang ialah “terima kasih, kami hormati keputusan anda”. Itu sudah cukup. Tidak perlu disambung dengan sindiran, tidak perlu diiringi kenyataan bernada sinis seolah pihak yang menolak itu sudah tidak bernilai lagi dalam peta politik negara.
Namun, yang berlaku sebaliknya. Ada kenyataan yang kedengaran seperti mahu menunjukkan UMNO tidak memerlukan sesiapa. Ada pula yang seolah mahu memberi gambaran bekas pemimpin yang menolak itu hanyalah kelompok kecil yang sudah tidak relevan.
Nada seperti ini bukan tanda kekuatan. Ia lebih menyerlahkan ego.
Politik yang matang tidak memerlukan bahasa angkuh. Politik yang matang memerlukan kebijaksanaan membaca keadaan, lebih lagi ketika parti sedang melalui fasa yang tidak mudah.

Hakikatnya sangat jelas. Bekas pemimpin yang menolak pelawaan itu tentu mempunyai sebab yang kuat. Ada yang sudah membina wadah perjuangan sendiri dan meneruskan perjuangan melalui parti lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) atau Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Mereka bukan sekadar keluar parti, tetapi sudah membina jalan politik yang berbeza. Tidak logik untuk mengharapkan mereka kembali hanya kerana satu jemputan.
Ada pula yang secara prinsip tidak bersetuju dengan kerjasama UMNO bersama DAP dalam kerajaan perpaduan hari ini. Bagi mereka, keputusan politik itu bertentangan dengan pendirian yang mereka pegang selama puluhan tahun. Sama ada orang setuju atau tidak dengan alasan itu, ia tetap satu pendirian yang harus dihormati.
Dan, tidak kurang juga yang sudah benar-benar memilih untuk meninggalkan dunia politik. Setelah berpuluh tahun bergelumang dengan konflik, perebutan kuasa dan tekanan politik, mereka mungkin merasakan sudah tiba masanya untuk hidup lebih tenang di luar gelanggang.
Semua alasan ini, sama ada selesa dengan parti baharu, tidak setuju dengan hala tuju UMNO hari ini atau sekadar mahu bersara adalah keputusan peribadi yang wajar dihormati.
Masalahnya ialah apabila penolakan itu dijawab dengan nada yang memperkecilkan. Seolah mereka yang menolak itu tidak lagi penting.
Ini sikap yang silap.
Ramai daripada bekas pemimpin itu bukan orang asing kepada UMNO. Mereka pernah menjadi pemimpin yang membina kekuatan parti. Mereka pernah turun ke kampung, ke ceruk desa, mempertahankan parti ketika UMNO menjadi tulang belakang politik negara.
Sebahagian dari mereka pernah memegang jawatan penting dalam kerajaan, dalam parti dan dalam masyarakat. Mereka pernah berdepan pilihan raya yang sengit, berhadapan kritikan pembangkang dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan di hadapan rakyat.
Pendek kata, mereka pernah menjadi sebahagian daripada sejarah besar UMNO.
Jadi apabila mereka memilih jalan berbeza hari ini, apakah reaksi yang paling wajar?
Adakah dengan memperlekeh keputusan mereka?

Atau, dengan menghargai sumbangan mereka walaupun mereka tidak lagi bersama?
Program Rumah Bangsa pada asasnya membawa mesej perpaduan dan keterbukaan. Ia kononnya mahu menjadi ruang untuk merapatkan kembali hubungan dengan bekas pemimpin dan bekas ahli parti. Namun, mesej itu akan hilang makna jika reaksi terhadap penolakan dibuat dengan nada yang keras dan angkuh.
Perpaduan tidak boleh dipaksa. Ia juga tidak boleh dibina dengan bahasa yang merendahkan pihak lain.
Jika benar matlamatnya mahu membuka ruang dialog, maka bahasa yang digunakan juga perlu mencerminkan keikhlasan. Bukan bahasa yang seolah berkata: kalau tak mahu, kami tidak kisah.
Dalam politik, pintu jarang tertutup selama-lamanya. Musuh hari ini boleh menjadi sekutu esok. Lawan hari ini boleh duduk semeja pada masa depan. Itulah realiti politik yang sudah banyak kali berlaku dalam sejarah negara.
Tetapi, pintu itu hanya akan terbuka jika ia dijaga dengan adab.
Kenyataan bernada sinis mungkin memberi kepuasan politik jangka pendek. Ia mungkin disambut tepukan penyokong tegar. Namun, dalam jangka panjang, ia hanya akan menjarakkan lagi hubungan yang sebenarnya masih boleh diperbaiki.
Lebih buruk lagi, ia memberi gambaran kepada rakyat bahawa sebahagian pemimpin UMNO belum belajar daripada pengalaman lalu.
UMNO bukan lagi parti yang boleh bercakap dari kedudukan terlalu selesa seperti suatu ketika dahulu. Landskap politik sudah berubah. Rakyat sudah berubah. Kuasa politik kini lebih terpecah dan lebih dinamik.
Dalam keadaan seperti ini, kerendahan hati adalah kekuatan. Bukan kelemahan.
Sayangnya, apabila ego mendahului hikmah, yang keluar bukan kebijaksanaan tetapi kesombongan.
Dan sejarah politik sudah banyak kali mengajar satu perkara yang sangat penting: parti yang terlalu yakin dirinya masih besar sering kali tidak sedar bila sebenarnya ia sudah semakin kecil. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L