Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Rosmah Ketepikan Hakim Kes Solar Sarawak

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam usaha terakhirnya untuk menyingkirkan hakim yang mensabitkannya dalam kes rasuah projek solar melibatkan sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Datuk Nordin Hassan secara sebulat suara menolak rayuan tersebut selepas mendapati tiada kesilapan undang-undang atau fakta yang serius bagi membolehkan campur tangan dibuat.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar.

Dalam penghakiman yang dibacakan, mahkamah memutuskan Rosmah, 74, gagal membuktikan wujudnya “bahaya sebenar berat sebelah” oleh Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, yang kini berkhidmat di Mahkamah Rayuan.

Menurut Nordin, dakwaan hakim tersebut bergantung kepada draf penghakiman yang didakwa bocor tidak mencukupi untuk menunjukkan berlaku ketidakadilan atau pelanggaran prinsip perbicaraan adil.

Mahkamah juga berpendapat tiada pelanggaran terhadap Kod Etika Hakim 2009 seperti yang dihujahkan pihak pembelaan.

Sebelum keputusan kes solar diumumkan pada 1 September 2022, Rosmah telah memfailkan notis usul memohon agar Mohamed Zaini menarik diri, susulan laporan sebuah portal berita mengenai kebocoran dokumen penghakiman.

Beliau turut memohon supaya keputusan kes ditangguhkan sementara siasatan terhadap laporan polis berkaitan isu itu diselesaikan, selain mencadangkan agar kes tersebut dibicarakan semula oleh hakim lain.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan berpendapat hakim bicara telah memberi ruang secukupnya kepada pemohon untuk berhujah berhubung permohonan tersebut, yang didengar selama lebih sejam.

Keputusan untuk tidak menangguhkan penyampaian penghakiman disifatkan wajar dan tidak menjejaskan hak perlembagaan pemohon.

Mahkamah turut menegaskan isu utama ialah sama ada benar wujud risiko berat sebelah berdasarkan fakta yang dibangkitkan.

Beban untuk membuktikan perkara itu terletak pada pemohon dan dalam kes ini, ia gagal dipenuhi.

Dalam alasan penghakiman sebelum ini, Mohamed Zaini menyatakan, beliau menyediakan keputusan berdasarkan penelitian dan hujahan pihak-pihak terlibat, bukan bersandarkan kepada mana-mana draf yang disediakan pihak ketiga.

Mahkamah Rayuan yang meneliti kedua-dua dokumen turut mendapati terdapat perbezaan ketara antara draf yang didakwa bocor dan alasan penghakiman sebenar.

Pada 1 September 2022, Rosmah disabitkan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak serta denda RM970 juta. Kegagalan membayar denda itu boleh membawa kepada tambahan hukuman penjara 30 tahun.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *