Kegagalan RUU Had Tempoh Jawatan PM Tunjuk Sokongan Kerajaan Makin Merosot – Marzuki

PUTRAJAYA – Kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan yang bertujuan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun, untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat kini menimbulkan kebimbangan mengenai kekuatan sokongan terhadap kerajaan.

Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya menyifatkan, keputusan itu sebagai petanda kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi cabaran untuk mengekalkan sokongan padu, termasuk daripada blok sendiri.

“Walaupun 146 Ahli Parlimen menyokong RUU itu pada bacaan kedua, jumlah tersebut masih tidak mencukupi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan.

“Ini jelas menunjukkan kegagalan kerajaan menggembleng sokongan majoriti, termasuk dalam agenda reformasi institusi yang sebelum ini dilaungkan sebagai komitmen utama,” katanya.

Beliau berkata, RUU tersebut bukan sekadar isu teknikal perundangan, tetapi menyentuh prinsip asas tadbir urus, akauntabiliti dan pembaharuan sistem demokrasi negara.

Menurutnya, kegagalan mendapatkan majoriti dua pertiga mencerminkan wujudnya keraguan dan ketidakyakinan dalam kalangan Ahli Parlimen terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

“Situasi ini juga memberi isyarat sokongan politik terhadap Perdana Menteri semakin merosot dan tidak lagi sekuat yang digambarkan.

“Sekiranya kerajaan benar-benar komited terhadap agenda reformasi, usaha membina konsensus rentas parti perlu dijalankan dengan lebih berkesan dan telus,” tambahnya.

Marzuki menyeru kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap pendekatan kepimpinan serta keutamaan dalam agenda reformasi institusi.

Beliau menegaskan, negara memerlukan kestabilan politik berasaskan keyakinan dan sokongan majoriti besar wakil rakyat, bukan sekadar angka mudah yang tidak mencukupi untuk perubahan besar Perlembagaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *