RUU had tempoh jawatan PM: Langkah berani Anwar, komitmen PKR terjemah reformasi – Amirudin

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun mencerminkan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR kepada reformasi yang diterjemahkan kepada usaha sebenar.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata walaupun RUU itu tidak memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, langkah berani membawa cadangan pindaan itu adalah kali pertama bagi mana-mana Perdana Menteri atau presiden parti.

“Alhamdulillah, semua 31 Ahli Parlimen PKR merupakan sebahagian daripada 146 Ahli Parlimen yang menyokong pindaan Perlembagaan ini.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih khususnya kepada semua Ahli Parlimen PKR yang terus komited kepada agenda reformasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

RUU itu tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga semalam selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul mengumumkan keputusan undi belah bahagian menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, 32 tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi.

Pindaan Perlembagaan berkenaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga, iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

Amirudin berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa proses dan tanggungjawab islah yang juga jiwa PKR tidak boleh dijayakan secara solo tetapi adalah tanggungjawab kolektif pelbagai pihak.

“Semalam kita mungkin kehilangan peluang emas untuk merealisasikan mandat rakyat dengan hanya dua undi, tetapi keputusan ini turut menggambarkan bahawa tiada Ahli Parlimen yang menolak cadangan untuk tempoh Perdana Menteri dihadkan kepada 10 tahun,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Gombak itu berkata, Perikatan Nasional (PN) menggambarkan bahawa mereka belum berani untuk meletakkan kepentingan nasional melebihi kepentingan politik.

Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, ia juga peringatan kepada semua pihak dalam kerajaan bahawa setiap Ahli Parlimen tidak boleh leka dengan tanggungjawab hakiki, dan tidak seharusnya membenarkan satu insiden untuk melunturkan semangat kepada agenda reformasi demi kebaikan rakyat dan negara. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *