“Saya ada maklumat sahih Hamzah yang pergi jumpa Zahid” – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan perancangan dibuat bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan membentuk gabungan bersama parti lain.

Memetik laporan Berita Harian, Presiden BERSATU itu turut mengesahkan wujud pertemuan Hamzah bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang dikaitkan dengan langkah ‘Bangkok Move’ bagi membincangkan perkara berkenaan.

Beliau berkata, perancangan ‘pintu belakang’ dibuat Hamzah adalah isu besar dan menjadi antara punca Ahli Parlimen Larut itu dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin BERSATU.

“Banyak pertimbangan (Hamzah dikenakan tindakan) tetapi itu di bawah Lembaga Disiplin. Saya tahu sikit-sikit sebab tidak wajar nak ulas satu persatu.

“Saya beri contoh satulah. Datuk Seri Zahid Hamidi ketika perhimpunan tempoh hari pernah membuat kenyataan bahawa saya sudah berjumpa dan berunding dengan PAS dan BERSATU.

“Kemudian orang baca ada kaitan dengan ‘Bangkok Move’ dan sebagainya. Dalam kumpulan (WhatsApp) saya tanya ‘Who met Zahid?‘ (Siapa jumpa Zahid). Tidak terjawab. Tapi saya ada maklumat yang sahih bahawa Hamzah yang pergi.

“Ini bukan perkara kecil. Rupanya ada perancangan hendak membentuk gabungan… dia hendak jadi DPM (Timbalan Perdana Menteri) dan siapa jadi PM (Perdana Menteri) tak tahulah… ingat main-main ke, ini adalah perkara serius,” katanya.

Januari lalu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengesahkan berlaku pertemuan dengan pemimpin PAS dan BERSATU berhubung penyatuan orang Melayu menerusi kolaborasi agung.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, perjumpaan disifatkan secara tidak langsung itu turut membabitkan beberapa parti politik Melayu lain.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata berdasarkan disiplin parti, Hamzah tidak boleh menemui mana-mana pemimpin parti lain tanpa mandat, tanpa kebenaran atau diluluskan oleh Majlis Tertinggi (MT) parti.

“Dalam parti kita ini dia ada disiplin. Ini isu besar. Anda tidak boleh pergi atas tujuan apa, tanpa ada mandat dan tiada kebenaran ataupun tidak diluluskan oleh Majlis Tertinggi.

“Memandai-mandai hendak pergi (pertemuan) buat apa… kalau itu untuk kebaikan, beritahu pada saya. Ini Presiden tidak tahu… ini bukan perkara kecil,” katanya. – BERITA HARIAN

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *