KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan keadaan di Qatar serta beberapa negara Teluk masih dalam kawalan walaupun landskap keselamatan di Asia Barat ketika ini dilihat tidak menentu susulan ketegangan serantau.
Menteri Luar, Mohamad Hasan berkata, setakat ini belum ada keperluan untuk Malaysia melaksanakan pelan pemindahan rakyat dari negara terlibat.
Menurut beliau, kerajaan melalui Kementerian Luar Negeri terus memantau perkembangan semasa dan menilai risiko dari semasa ke semasa.
“Berdasarkan penilaian terkini, keadaan masih terkawal dan belum sampai tahap untuk kita menggerakkan pelan evakuasi,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Negara.
Beliau menjelaskan demikian sebagai respons kepada pertanyaan Senator Azahar Hassan mengenai tindakan kerajaan membantu rakyat Malaysia yang didakwa terkandas di Qatar dan beberapa lokasi lain di Asia Barat.
Dalam pada itu, Wisma Putra telah melaksanakan langkah berjaga-jaga termasuk mengaktifkan Bilik Gerakan 24 jam serta memastikan semua rakyat Malaysia boleh berhubung dengan pejabat konsulat dan kedutaan masing-masing. Perwakilan Malaysia di luar negara juga diarahkan memantau situasi secara berterusan.
Setakat ini, dianggarkan sekitar 29,000 rakyat Malaysia berada di negara-negara Teluk, dengan kira-kira 13,000 telah berdaftar dengan kedutaan. Di Qatar sahaja, seramai 2,007 warganegara Malaysia berdaftar, kebanyakannya bekerja dalam industri penerbangan dan sektor berkaitan.
Mohamad berkata, tumpuan utama ketika ini adalah membantu mereka yang berada dalam transit di beberapa hab utama seperti Dubai, Oman, Abu Dhabi dan Doha, khususnya yang terjejas akibat gangguan penerbangan.
Bagi rakyat Malaysia yang menetap tetap di negara berkenaan, keadaan mereka dilaporkan stabil kerana mempunyai tempat tinggal dan kemudahan asas.
Kerajaan turut berbincang dengan Lembaga Tabung Haji untuk menggunakan kemudahan penginapan milik agensi itu di Jeddah bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pembatalan penerbangan ke Arab Saudi.
Selain itu, usaha turut dibuat bagi menangani kes individu termasuk pelajar yang terkandas dengan menempatkan mereka sementara waktu di premis kedutaan. Kerajaan juga berharap syarikat pengendali umrah memainkan peranan sewajarnya dalam menjaga kebajikan jemaah masing-masing.
Beliau berkata, walaupun ruang udara Arab Saudi masih dibuka, syarikat penerbangan Malaysia buat masa ini tidak meneruskan penerbangan ke negara tersebut, dipercayai susulan peningkatan premium insurans yang menjejaskan operasi. Perkara itu sedang diteliti bagi mencari penyelesaian terbaik.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L