Tiga anggota tentera AS terbunuh

WASHINGTON – United States Central Command (CENTCOM) mengesahkan tiga anggota tenteranya terbunuh dalam operasi ketenteraan besar-besaran terhadap Iran, sekali gus menjadi korban pertama dialami Amerika Syarikat (AS) sejak kempen serangan itu dilancarkan.

Dalam kenyataan rasmi, CENTCOM memaklumkan lima lagi anggota mengalami kecederaan serius manakala beberapa yang lain cedera ringan akibat serpihan dan kesan gegaran letupan.

Operasi tempur utama dilaporkan masih berlangsung dan identiti anggota yang terkorban hanya akan diumumkan selepas waris dimaklumkan, sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam.

Serangan bersama AS dan Israel dilaporkan mengakibatkan kematian Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei. Media Iran serta beberapa agensi antarabangsa mengesahkan perkara itu, manakala Tehran berikrar akan melancarkan tindakan balas.

Beberapa lokasi strategik termasuk infrastruktur ketenteraan dan tapak berkaitan kepimpinan tertinggi negara itu menjadi sasaran serangan udara besar-besaran. Imej satelit menunjukkan kerosakan ketara pada kompleks kediaman Khamenei di Tehran.

Dalam perkembangan berkaitan, Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC) mendakwa telah melancarkan empat peluru berpandu balistik ke arah kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln.

Bagaimanapun, seorang pegawai AS yang dipetik Al Jazeera memaklumkan tiada kerosakan dilaporkan dan kapal berkenaan terus melancarkan pesawat bagi menyokong operasi di rantau tersebut.

CENTCOM turut memaklumkan lebih 1,000 sasaran ketenteraan Iran telah diserang sejak operasi bermula, termasuk ibu pejabat Pengawal Revolusi serta aset ketenteraan laut negara itu.

Di Washington, pemerhati politik menjangkakan kematian anggota tentera AS akan mencetuskan tekanan baharu terhadap pentadbiran Donald Trump untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai matlamat sebenar operasi itu.

Beberapa anggota Kongres daripada Parti Demokrat dilaporkan mahu satu perdebatan tergempar diadakan bagi mendapatkan penjelasan tentang skop, tempoh operasi serta risiko terhadap anggota tentera AS.

Dalam wawancara bersama Fox News, Trump berkata keadaan “bergerak dengan pantas” dan operasi berjalan seperti dirancang. Beliau turut mendakwa Iran hampir memiliki senjata nuklear dalam tempoh dua minggu sekiranya serangan terhadap fasiliti nuklear negara itu tidak dilaksanakan.

Serangan balas Iran, termasuk peluru berpandu dan dron ke arah sasaran di Israel serta beberapa lokasi di rantau Teluk, meningkatkan kebimbangan kemungkinan tercetusnya konflik serantau yang lebih besar. Laporan antarabangsa turut menyebut beberapa korban awam dan tentera di beberapa negara terlibat.

Sementara itu di Tehran, kepimpinan sementara dilantik bagi menguruskan pentadbiran negara sepanjang tempoh peralihan kuasa susulan kematian Khamenei. Antara yang dinamakan termasuk Presiden Masoud Pezeshkian, ketua kehakiman serta seorang ahli Majlis Penjaga Perlembagaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *