PKR gantung jawatan Fahmi Zainol serta-merta

GEORGETOWN – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam memutuskan untuk menggantung semua jawatan parti yang disandang Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkuat kuasa serta-merta.

Fahmi yang juga Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang dikenakan tindakan itu susulan pendakwaan mahkamah yang sedang dihadapinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata keputusan berkenaan dibuat dalam mesyuarat MPP semalam.

Penggantungan jawatan parti itu akan terus berkuat kuasa sehingga kes mahkamah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu diputuskan.

“Berhubung jawatan beliau dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Setiausaha Agung Keadilan akan mengutuskan surat kepada Ketua Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Pada 27 Februari lalu, Fahmi, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya, minggu lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Dalam mesyuarat sama, MPP turut membincangkan isu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Fuziah berkata, parti sudah menerima jawapan Rafizi dan mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti dengan peringatan supaya sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tataetika serta disiplin parti.

Mesyuarat MPP turut dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa satu usul tergempar ke Dewan Rakyat hari ini bagi mengecam serangan Israel dan sekutunya ke atas Iran.

Sementara itu, MPP memaklumkan PKR menerima 14,225 anggota baharu bagi tempoh Oktober 2025 hingga Januari 2026.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *