KLUANG – Sebanyak 11 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor mengumumkan pembubaran masing-masing susulan krisis dalaman yang didakwa semakin meruncing dalam parti itu.
Bahagian terlibat ialah Mersing, Pontian, Johor Bahru, Labis, Simpang Renggam, Sembrong, Pengerang, Tanjung Piai, Ledang, Pulai dan Sri Gading.
Ketua Bahagian Bersatu Pontian, Datuk Isa Ab. Hamid yang mewakili ketua-ketua bahagian berkenaan berkata, keputusan itu dibuat selepas tiada maklum balas jelas diberikan kepimpinan tertinggi parti terhadap kenyataan media yang dikemukakan pada 27 Januari lalu.
Menurut beliau, kemelut dalaman parti bertambah serius susulan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta tindakan pemecatan beramai-ramai melibatkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru-baru ini.
Isa turut mendakwa situasi tersebut menjejaskan hala tuju parti dan menghakis keyakinan penyokong terhadap Bersatu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau turut menyuarakan kekecewaan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal yang didakwa gagal menyatukan kepimpinan di peringkat bahagian.
Isa berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman peletakan jawatan ketua-ketua bahagian Bersatu bersama kira-kira 100 ahli di Simpang Renggam, pada Rabu.
Menurutnya, surat peletakan jawatan akan diserahkan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat, dan tidak menolak kemungkinan beberapa lagi bahagian akan mengambil tindakan sama.
Difahamkan, bahagian Mersing, Labis dan Johor Bahru telahpun menghantar surat peletakan jawatan masing-masing.
Mengulas perancangan seterusnya, Isa berkata mereka akan bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu masyarakat setempat. Katanya, kerjasama bersama parti di bawah gabungan Perikatan Nasional akan diteruskan atas kapasiti rakan, termasuk menghadiri program anjuran parti komponen seperti PAS, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L