UPSI, Arkib Negara Malaysia meterai MoU perkukuh pemeliharaan warisan sejarah

Oleh: Bazli Razak

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Arkib Negara Malaysia (ANM) sebagai langkah strategik memperkukuh kerjasama dalam pemartabatan ilmu, pemeliharaan warisan sejarah dan pembangunan penyelidikan negara.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, majlis menandatangani MoU berkenaan bukan sekadar simbolik perjanjian, sebaliknya menjadi manifestasi komitmen bersama kedua-dua institusi dalam memelihara khazanah sejarah dan identiti negara.

Beliau berkata, UPSI sebagai universiti pendidikan tertua di Malaysia memainkan peranan penting dalam melahirkan pendidik, penyelidik dan pemimpin pemikiran yang memiliki jati diri kukuh serta kefahaman mendalam terhadap sejarah dan warisan negara.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama dengan ANM amat signifikan memandangkan institusi berkenaan adalah badan utama negara dalam pemeliharaan, pendokumentasian serta penyelidikan rekod dan warisan sejarah.

“Usaha ini selari dengan aspirasi UPSI untuk terus menjadi peneraju kebitaraan pendidikan di rantau ini, di samping memperkukuh ekosistem penyelidikan berasaskan ilmu dan warisan,” katanya pada majlis berkenaan di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan) ANM, Shahlin Ali; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman.

Menurut beliau, MoU tersebut membuka ruang kepada kedua pihak untuk melengkapi kepakaran dan sumber melalui pelbagai kolaborasi strategik, khususnya dalam bidang penyelidikan dan penerbitan ilmiah berkaitan sejarah, arkib serta warisan negara.

Selain itu, kerjasama berkenaan turut melibatkan perkongsian kepakaran melalui penganjuran program akademik, latihan, seminar dan bengkel, selain memberi peluang kepada pelajar UPSI menjalani latihan industri di ANM sebagai pendedahan profesional.

“Saya berharap perjanjian ini tidak terhenti di sini sahaja, sebaliknya dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi secara berterusan, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya di daerah Muallim terhadap kepentingan memelihara warisan sejarah negara,” ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah ANM, Zaidin Mohd Noor berkata, beliau berasa amat bangga dengan jalinan kerjasama yang dimeterai antara ANM dan UPSI, yang disifatkan sebagai kesinambungan hubungan strategik kedua-dua institusi sejak 2014.

“Kolaborasi ini merupakan kesinambungan daripada MoU yang pernah dimeterai bagi tempoh 2017 hingga 2020, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara Arkib Negara Malaysia dan UPSI.

Beliau berkata, idea untuk menandatangani MoU tersebut tercetus apabila kedua-dua pihak melihat kerjasama berkenaan mampu memberi manfaat besar kepada negara, khususnya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

“Melalui kerjasama itu, ANM dan UPSI bukan sahaja dapat memperkasa penyelidikan dan perkongsian kepakaran, malah merancang pelaksanaan projek pendigitalan bahan arkib serta strategi promosi melalui penghasilan kandungan kreatif bagi meningkatkan akses masyarakat kepada dokumen sejarah negara,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *