Kisah Penangkapan Anggota Geng ‘Kapten Praba’, Ini Realiti Bukan Filem

Oleh: Manzaidi Mohd Amin

APABILA membaca laporan mengenai penangkapan mudah anggota geng ‘Kapten Praba’, sukar untuk tidak teringatkan jalan cerita filem-filem jenayah dari India.

Sekilas pandang, kisah ini seolah memenuhi ramuan asas sebuah filem blockbuster – penjenayah berprofil tinggi, rentas negara, melibatkan lapangan terbang antarabangsa dan berakhir di mahkamah.

Cuma bezanya, kisah ini tidak mempunyai muzik latar dramatik, gerak perlahan atau hero yang muncul di saat akhir.

Filem-filem jenayah India lazimnya bergerak dalam acuan yang hampir sama. Sekumpulan penjenayah melakukan kekacauan besar, mencabar undang-undang dan mempermainkan pihak berkuasa.

Negara digambarkan lumpuh, polis kelihatan tidak berdaya dan harapan penonton diletakkan sepenuhnya kepada kemunculan seorang hero — selalunya seorang pegawai polis luar biasa, memiliki keberanian dan kekuatan hampir mustahil, beroperasi di luar peraturan demi menegakkan keadilan.

Dalam dunia filem, apabila penjenayah berjaya ditahan, cerita belum berakhir. Proses membawa mereka ke balai, mahkamah atau penjara akan diselitkan dengan babak serang hendap.

Konvoi polis akan diserang. Tembak-menembak berlaku tanpa henti. Anggota polis biasa menjadi korban, seolah sekadar watak sampingan yang wujud untuk mati.

Hero pula akan tampil seorang diri menewaskan seluruh kumpulan penjenayah, membuktikan bahawa keadilan hanya boleh ditegakkan melalui individu luar biasa.

Namun, kisah penangkapan anggota geng ‘Kapten Praba’ ini berjalan di atas landasan yang sangat berbeza.

Dalam realiti, tiga penjenayah ini tidak dikesan melalui risikan berlapis atau operasi rahsia berprofil tinggi. Mereka dikenal pasti secara biasa di Lapangan Terbang Manchester.

Tiada adegan mengejar di terminal, tiada kekecohan awam, tiada penjenayah melepaskan tembakan sambil berlari. Segalanya berlaku mengikut prosedur. Senyap, kemas dan terkawal.

Mereka kemudiannya diusir pulang ke Lapangan Terbang Mumbai, India, tempat asal mereka menaiki penerbangan ke United Kingdom.

Pada tahap ini, jika mengikut logik filem, inilah saat yang sesuai untuk berlaku “plot twist”, serangan hendap di udara, rampasan pesawat atau sekurang-kurangnya cubaan melarikan diri secara dramatik.

Tetapi, sebaik tiba di Lapangan Terbang Mumbai, ketiga mereka mula menyedari segala perancangan telah berakhir. Tanpa rangkaian sokongan, tanpa pelan sandaran dan tanpa pasukan penyelamat.

Mereka cuba memberontak, namun tindak balasnya pantas dan ringkas. Ditahan polis lapangan terbang Mumbai. Bukan pasukan khas elit. Bukan unit anti-pengganas. Hanya polis biasa yang menjalankan tugas harian mereka.

Tiada hero muncul. Tiada siapa melakukan aksi luar biasa. Hanya undang-undang yang berjalan seperti sepatutnya.

Perjalanan seterusnya dari India ke Malaysia juga berlangsung tanpa sebarang drama. Mereka dikawal oleh anggota polis terlatih, mengikut prosedur keselamatan antarabangsa.

Tiada cubaan membebaskan. Tiada serangan dari anak buah geng. Tiada pengorbanan nyawa. Penerbangan selamat mendarat dan ketiga-tiga suspek akhirnya dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang untuk menghadapi pertuduhan.

Di sinilah realiti memperlihatkan wajah sebenar keadilan. Ia tidak memerlukan skrip dramatik atau watak heroik. Ia tidak bergantung kepada seorang individu luar biasa.

Sebaliknya, ia bergantung kepada sistem, kerjasama antara negara, disiplin pasukan keselamatan dan pegawai-pegawai biasa yang konsisten menjalankan tanggungjawab mereka.

Hakikat bahawa tiada cubaan menyelamatkan ketiga-tiga penjenayah ini juga membawa mesej penting. Dunia jenayah sebenar tidak beroperasi seperti dalam filem.

Apabila seorang penjenayah ditangkap, jaringan sokongan sering runtuh bersama-sama. Tiada siapa sanggup mempertaruhkan nyawa demi skrip yang tidak wujud.

Kerana ini bukan filem. Dalam dunia realiti, semua anggota keselamatan dalam apa pangkat sekalipun, adalah hero. Mereka tidak mudah ditewaskan. Mereka terlatih walaupun berpangkat rendah.

Ini adalah kisah benar mengenai bagaimana penjenayah boleh ditangkap tanpa letupan, tanpa tembakan dan tanpa hero. Seorang anggota polis biasa pun cukup untuk menahan penjahat, selagi sistem berfungsi dan undang-undang dihormati.

Dan, mungkin di situlah ironi paling besar, realiti jauh lebih berkesan daripada fantasi, walaupun ia kurang dramatik di mata penonton. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *