Jejak Gelap ‘Kapten Praba’: Dari Klang ke Manchester, India dan Thailand Jadi Transit Pelarian

Dari Meja Editorial

DI SEBALIK nama operasi yang kedengaran sinematik, Ops Jack Sparrow, tersembunyi kisah gelap pelarian antarabangsa tiga anggota kanan kumpulan jenayah terancang ‘Kapten Praba’ yang menjadikan India dan Thailand sebagai lubuk persembunyian, sebelum akhirnya terperangkap di pentas dunia.

Sejak diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada September tahun lalu, tiga penjenayah terbabit bergerak licik merentas sempadan, keluar masuk India dan Thailand bagi mengelak dijejaki.

Negara-negara itu bukan sekadar tempat singgah, tetapi menjadi ‘zon selamat’ sementara mereka merancang langkah seterusnya, meloloskan diri lebih jauh dari Asia Tenggara.

Namun, percaturan itu gagal apabila cubaan mereka menembusi United Kingdom (UK) terbongkar.

Pihak imigresen di Lapangan Terbang Manchester yang sudah dimaklumkan mengenai status ketiga-tiga lelaki itu sebagai penjenayah berprofil tinggi bertindak pantas menolak kemasukan mereka.

Dari saat itu, laluan gelap yang dirancang rapi tiga sekawan ini runtuh sekelip mata.

Mengikut protokol antarabangsa, ketiga-tiga suspek dihantar semula ke lokasi penerbangan terakhir iaitu Mumbai, India.

Namun, sebaik pesawat mendarat, mereka sedar tiada lagi ruang untuk melarikan diri.

Dalam keadaan terdesak, ketiga-tiganya bertindak ganas di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj (CSMIA) sebelum ditahan pasukan keselamatan India, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, mengesahkan ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30-an itu adalah sasaran utama Ops Jack Sparrow, operasi besar-besaran PDRM terhadap kumpulan jenayah terancang berkenaan.

Mereka dibawa pulang ke tanah air dan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang sebaik tiba, menamatkan episod pelarian antarabangsa yang memalukan, namun signifikan dalam usaha membanteras jenayah terancang.

Bagaimanapun, kisah ‘Kapten Praba’ belum berakhir apabila ketua kumpulan yang digelar ‘Kapten Praba’ itu sendiri masih bebas, menjadikan pemburuannya satu keutamaan pihak berkuasa.

Kumpulan ini dipercayai aktif sejak 2023 dengan keahlian seramai 33 orang berusia antara 19 hingga 44 tahun.

Mereka dikaitkan dengan pelbagai jenayah kekerasan, dari serangan bersenjata api dan parang, samun berkumpulan, khianat dengan api sehingga kes pembunuhan berprofil tinggi.

Siasatan awal mendapati tindakan terhadap kumpulan ini dipercepatkan susulan serangan di Taman Sentosa, Klang, awal tahun lalu, apabila seorang lelaki ditembak dan diserang dengan parang.

Mereka turut dikaitkan dengan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah restoran di Brickfields, selain beberapa kes jenayah terancang lain yang mencetuskan ketakutan awam.

Pada September lalu, PDRM menahan 17 ahli kumpulan ini dalam operasi serentak di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Namun, selagi ‘Kapten Praba’ masih bebas, ancaman kumpulan ini belum benar-benar berakhir.

Rencana jenayah ini bukan sekadar kisah tangkapan, tetapi peringatan bahawa dunia jenayah hari ini tidak mengenal sempadan dan pemburunya juga semakin jauh melangkaui tanah air.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *