Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, Fokus Bentuk Pelajar Seimbang

KUALA LUMPUR – Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 dilihat sebagai langkah penting untuk merombak pendekatan pendidikan negara dengan memberi keutamaan kepada pembangunan insan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada pencapaian peperiksaan.

Timbalan Dekan (Penyelidikan) Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof Madya Zuwati Hasim, berkata pelan jangka panjang itu selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan keperluan menyuntik nilai kemanusiaan dan “jiwa” dalam sistem pendidikan.

Menurut beliau, RPN berupaya membantu guru dan ibu bapa memberi tumpuan kepada aspek pembentukan sahsiah pelajar, termasuk kesejahteraan emosi, keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta kebolehan menyesuaikan diri dengan cabaran kehidupan.

“Pendekatan memanusiakan pendidikan bermaksud kita tidak lagi melihat murid sebagai mesin akademik semata-mata. Mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran insani dan kemahiran hidup supaya lebih bersedia menghadapi dunia sebenar,” katanya ketika menjadi tetamu program The Nation di sini, semalam.

Zuwati menjelaskan, keupayaan berkomunikasi semakin menjadi isu dalam kalangan kanak-kanak masa kini, khususnya akibat penggunaan gajet dan teknologi secara berlebihan sejak usia muda.

“Ramai kanak-kanak berasa sukar untuk berinteraksi dan cepat melabel diri sebagai introvert. Hakikatnya, perkara ini boleh diperbaiki melalui pendedahan serta persekitaran pembelajaran yang sesuai. Justeru, RPN ini hadir pada waktu yang amat diperlukan,” katanya.

Mengulas kaedah penilaian pembelajaran bagi murid Tahun Empat, beliau menjangkakan perubahan daripada sistem berorientasikan peperiksaan kepada pentaksiran diagnostik dan formatif yang lebih bersifat sokongan.

Katanya, pendekatan baharu itu seharusnya memberi fokus kepada mengenal pasti potensi serta keperluan pembelajaran pelajar, dan bukannya untuk tujuan perbandingan atau penggredan semata-mata.

Namun, beliau mengingatkan bahawa kejayaan pelaksanaan RPN bergantung kepada keupayaan sistem pendidikan menangani cabaran sedia ada seperti bilangan murid yang ramai dalam satu kelas, tahap literasi yang tidak seimbang serta kesediaan guru untuk melaksanakan kaedah baharu.

“Tanpa perancangan rapi, sokongan bersasar kepada guru dan intervensi bilik darjah yang sesuai, pendekatan formatif dan berteraskan kemanusiaan ini mungkin sukar direalisasikan sepenuhnya,” katanya.

Zuwati turut menekankan kelebihan penilaian formatif seperti kerja projek, pembentangan dan tugasan bilik darjah yang mampu menilai kemahiran berfikir kritis, keyakinan serta komunikasi pelajar — aspek yang sering terpinggir dalam peperiksaan tradisional.

Melalui pembelajaran berasaskan projek, katanya, pelajar diberi ruang untuk menyuarakan idea dan memperkukuh kefahaman, di samping membina keyakinan diri secara berperingkat melalui intervensi yang sesuai.

Beliau juga mengingatkan tentang kesan pendedahan teknologi yang terlalu awal terhadap perkembangan kanak-kanak, termasuk implikasi terhadap fokus, kemahiran sosial dan kesihatan mata.

“Apa yang didedahkan kepada kanak-kanak akan membentuk cara mereka belajar dan berkembang. Penggunaan skrin yang berlebihan perlu ditangani secara seimbang,” katanya.

Secara keseluruhan, Zuwati berpandangan RPN 2026–2035 membuka ruang untuk penilaian semula sistem pendidikan negara ke arah melahirkan generasi yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berdaya tahan dari segi emosi dan matang dalam interaksi sosial.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *