Dari Meja Editorial
PERSOALAN sama ada kegiatan dan aktiviti sastera tanah air semakin malap dan muram bukanlah perkara baharu, namun semakin kerap dibangkitkan mutakhir ini.
Ia lahir daripada pemerhatian jelas. Semakin jarang kita melihat laporan mengenai diskusi sastera, pelancaran buku puisi, bengkel penulisan atau pertemuan persatuan penulis dalam media arus perdana, sedangkan suatu ketika dahulu, kegiatan seumpama itu menjadi denyut nadi halaman sastera akhbar.
Pada era sebelumnya, akhbar utama menyediakan ruang khusus untuk sastera. Ruangan ini bukan sekadar memuatkan cerpen dan puisi, tetapi turut melaporkan aktiviti persatuan penulis, perdebatan pemikiran, polemik sastera dan suara generasi baharu. Sastera hadir sebagai wacana awam, dibaca, diperdebatkan dan dirayakan.
Namun, hari ini landskap itu berubah. Media arus perdana lebih memberi keutamaan kepada isu sensasi, politik dan ekonomi, manakala sastera semakin terpinggir.
Laporan mengenai aktiviti kesusasteraan menjadi amat terhad, malah hampir lenyap. Di media sosial pula, sastera tenggelam dalam lautan kandungan pantas dan hiburan segera yang lebih mudah meraih perhatian.
Keadaan ini menimbulkan tanggapan dunia sastera Malaysia sedang mengalami zaman suram. Persoalannya, benarkah sastera sudah mati atau sebenarnya kita gagal melihatnya kerana ia telah berpindah ke ruang lain?
Hakikatnya, kegiatan sastera masih berlaku, tetapi dalam skala lebih kecil dan bersifat terpinggir. Diskusi buku diadakan di kafe, pelancaran karya berlangsung sederhana, bengkel penulisan dijalankan secara tertutup atau dalam talian.
Namun, tanpa liputan media dan sokongan ekosistem yang kukuh, semua ini seolah berlaku dalam “ruang sunyi”, tidak sampai kepada khalayak yang lebih luas.
Ketiadaan liputan media bukan sekadar isu publisiti, tetapi memberi kesan besar terhadap kelangsungan sastera itu sendiri. Tanpa pendedahan, karya tidak dibaca. Tanpa pembaca, penulis hilang motivasi. Tanpa perbincangan kritikal, sastera menjadi statik dan kehilangan fungsi sebagai wadah pemikiran masyarakat.
Lebih membimbangkan, generasi muda semakin terpisah daripada sastera tempatan. Apabila sastera tidak kelihatan di media utama, ia tidak dianggap relevan.
Akhirnya, sastera dilihat sebagai dunia kecil yang hanya berlegar dalam kelompok yang sama, menulis untuk penulis, berbicara sesama sendiri.
Jika keadaan ini berterusan, ia sememangnya satu kerugian besar buat negara. Sastera bukan sekadar seni bahasa, tetapi cerminan jiwa bangsa, rakaman sejarah emosi dan pemikiran masyarakat.
Negara yang kehilangan denyut sasteranya adalah negara yang kehilangan sebahagian keupayaan untuk berfikir secara mendalam dan kritis.
Namun, menyalahkan media semata-mata juga tidak adil. Dunia sastera sendiri perlu menilai semula pendekatan. Penulis dan persatuan sastera perlu lebih proaktif mendekati pembaca, memanfaatkan platform digital secara kreatif, serta mengangkat isu yang dekat dengan realiti semasa.
Sastera tidak boleh terus terperangkap dalam bahasa dan wacana yang eksklusif sehingga menjauhkan khalayak umum.
Kesimpulannya, aktiviti sastera di Malaysia mungkin kelihatan malap, tetapi belum mati. Yang muram bukanlah ketiadaan karya, sebaliknya ketiadaan perhatian.
Jika semua pihak, iaitu media, institusi, penulis dan pembaca, tidak mengambil peduli, maka kebimbangan mengenai “kematian sastera” akhirnya akan menjadi kenyataan.
Dan, ketika itu berlaku, kita tidak lagi boleh menyalahkan zaman. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
Satu kupasan yang jitu Dan bermakna untuk semua pihak menyambil Jalan pendekatan yang realistik dan proaktif
pihak berkaitan kena ambil langkah proaktif supaya aktiviti kesusasteraan bergerak dgn aktif seperti dulu2.