KUALA SELANGOR – Polis membuka kertas siasatan berhubung penularan gambar dan video aktiviti senaman aerobik atau zumba yang didakwa tidak sopan, dipercayai berlangsung di Dewan Orang Ramai Bukit Badong, Bestari Jaya, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya mengesan kandungan berkaitan program tersebut dimuat naik di laman Facebook sekitar jam 11.13 pagi sebelum ia tular di pelbagai platform media sosial.
Menurut beliau, program berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi aplikasi TikTok, sekali gus menyumbang kepada penyebaran meluas rakaman gambar dan video berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati program zumba tersebut dianjurkan dengan tema ‘Back To School’.
“Namun, rakaman yang tular menunjukkan terdapat seorang individu bertudung dan berpakaian seragam sekolah yang didapati tidak memakai kain, manakala seorang lagi individu hanya mengenakan seluar jenis legging,” katanya dalam satu kenyataan.
Azaharudin berkata, siasatan lanjut mendapati salah seorang peserta dipercayai telah menanggalkan kain sekolah yang dipakai bagi memudahkan pergerakan semasa program senaman itu berlangsung.
Susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada susulan penularan sebuah video di TikTok yang memaparkan aktiviti senaman aerobik didakwa tidak sopan di kawasan Bukit Badong, Bestari Jaya.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius perbuatan tersebut kerana disifatkan sebagai tidak beradab serta mengandungi elemen perlakuan tidak sopan di tempat awam yang berpotensi mencemarkan imej dan kesucian agama Islam.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L