Oleh: Jais Abdul Karim
PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang menzahirkan kebimbangan serius terhadap gejala rasuah yang semakin berleluasa serta kekecewaan terhadap pihak-pihak yang masih menyokong individu yang telah disabitkan bersalah atas jenayah rasuah.
MCW berpandangan, titah tersebut bukan sekadar peringatan moral, malah merupakan teguran kenegaraan yang amat signifikan kepada seluruh lapisan masyarakat, khususnya pemimpin politik, penjawat awam dan institusi kuasa, agar tidak menormalisasikan rasuah atas apa jua alasan politik, emosi atau kepentingan sempit.
MCW bersetuju sepenuhnya dengan pendirian Tuanku Muhriz bahawa sokongan terhadap penjenayah rasuah mencerminkan kegagalan memahami bahaya rasuah yang meruntuhkan integriti institusi, mencemar kedaulatan undang-undang dan merosakkan asas moral masyarakat.
Lebih membimbangkan, sikap ini berpotensi membentuk budaya kebal undang-undang serta menghalalkan pengkhianatan terhadap amanah rakyat.
Sehubungan itu, MCW menegaskan, tiada ruang toleransi, kompromi atau pemutihan imej terhadap mana-mana individu yang telah disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah.
Prinsip keadilan tidak boleh dirunding, dan proses perundangan tidak boleh dipolitikkan atau dimanipulasi demi kelangsungan kuasa.
MCW turut menyokong seruan Tuanku Muhriz agar pihak-pihak yang masih mempertahankan penjenayah rasuah bermuhasabah dan menilai semula prinsip hidup serta pegangan nilai masing-masing. Sebuah negara yang ingin maju dan dihormati tidak boleh dibina di atas pembenaran moral terhadap perbuatan khianat.
Dalam masa yang sama, MCW memandang serius kepentingan penguatkuasaan undang-undang yang konsisten, bebas dan berintegriti, tanpa layanan dua darjat, agar keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara dapat dipulihkan sepenuhnya.
MCW merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas ketegasan dan kebijaksanaan Tuanku Muhriz dalam mempertahankan nilai kebenaran, keadilan dan amanah, yang selari dengan aspirasi rakyat Malaysia untuk melihat sebuah negara bersih daripada rasuah, berdaulat dari segi undang-undang, dan bermaruah di mata dunia.
Jais Abdul Karim adalah Presiden MCW
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L