KOTA BHARU – Lembaga Pertanian Kemubu (KADA) mengarahkan semua pegawai dan jenteranya membantu petani di negeri itu yang berhadapan kemarau luar biasa lebih awal.
Pengerusinya, Muhamad Husin berkata, beliau mahu semua peringkat pegawai agensi itu melakukan yang terbaik sama ada menyediakan pelan jangka pendek seperti telaga tiub atau tindakan lanjut bagi menangani cabaran besar itu.
Katanya, beliau berikan sepenuh komitmen untuk turun ke setiap jajahan bagi melihat, mendengar dan bekerjasama dengan petani bagi menyelesaikan masalah itu.
“Selain usaha fizikal dari KADA, saya sarankan petani mengadakan solat hajat memohon kepada Allah permudahkan urusan dengan menurunkan hujan bagi membekalkan air untuk tanaman padi.
“Semoga Allah permudahkan urusan. Ini jihad kita, jihad menghilangkan kelaparan rakyat,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Pagi ini, Muhamad bersama pasukan Pejabat KADA Melor, Kota Bharu Selatan turun ke bendang Kampung Chekok, Ketereh untuk melihat sendiri keadaan bendang yang kering kontang.
Kata Muhamad, kemarau kali ini paling teruk berlaku hingga paras air Sungai Kelantan juga dikatakan surut sehingga 2.58 meter.
Hampir sebulan lepas pam air Kemubu tidak dapat berfungsi akibat paras air yang terlalu rendah dan mengakibatkan air tidak dapat disalurkan ke tali air.
“Fenomena kemarau ini mengejutkan ramai pihak terutama petani kerana dikatakan berlaku lebih awal dari yang dijangka,” katanya. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!