BERITA UTAMA

Fadhli jawab Zahid dakwa Muafakat Nasional gagal kerana Pas

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Pusat, Fadhli Shaari menjawab kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika di Tanah Merah, Kelantan semalam, menyalahkan Pas menyebabkan Muafakat Nasional (MN) gagal.

Beliau terlebih dahulu mengucapkan selamat berpuasa kepada Zahid dengan menyatakan Ramadan ini perlu perbanyakan amal ibadat, kurangkan pertembungan kerana takut melarat sehingga mengurangkan pahala nanti.

Apatah lagi, katanya, pemimpin UMNO itu dilihat sengaja melontarkan isu yang tidak perlu yang tentunya akan memanjangkan perbahasan antara kedua-dua pihak.

“Sekadar mengingatkan, perbualan telefon antara ‘cikgu dan murid’ serta ‘gumpalan kertas A4’ yang berlaku sebelum PRU15 ialah sebesar-besar bukti telah berlaku hubungan sulit antara Datuk Seri secara peribadi dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Akhirnya ia terlaksana selepas PRU15. Sudah tentu hujah yang biasa didengar ialah kerana ia titah Yang di-Pertuan Agong agar BN bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan. Ya, semata-mata patuh kepada titah sahaja.

“Andaikan ia benar, soalannya adakah kerana titah juga BN sanggup bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan negeri di Perak walaupun ada alternatif yang lain untuk membentuk kerajaan dominasi Melayu Muslim?,” soal beliau.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan, adakah kerana titah juga BN sanggup bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan di Pahang walaupun ada alternatif lain untuk membentuk kerajaan dominasi Melayu Muslim? Jika kerana titah, titah yang mana? Atau titah siapa?

Dan, katanya, apabila Zahid menyatakan harapan agar kerjasama ini kekal sehingga PRU16, dengan maksud di dalam pilihanraya akan datang, BN akan terus bekerjasama dengan PH menentang Perikatan Nasional (PN) satu lawan satu, adakah ia juga kerana titah?

“Tidakkah itu dengan sendirinya bermaksud selepas PRU16 nanti BN akan terus bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan (jika pun menang)?

“Janganlah pergunakan kalimah titah sampai begitu sekali. Panjang lagi jawapan boleh diberikan, tetapi lebih baik setakat ini sahaja sekadar respon. Jika tidak dimulakan oleh Datuk Seri Zahid, tiada keperluan untuk menjawab sebenarnya. Kerana semua orang sudah tahu duduk letak isu sebenar.

“Buat masa sekarang, jika Datuk Seri terus istiqamah untuk bersama PH, saya ucapkan selamat berjaya,” katanya. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *