Krisis NS: UMNO tolak penangguhan 6 bulan, tuntut sidang khas DUN

KUALA LUMPUR – UMNO Negeri Sembilan mendesak agar satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan segera bagi menamatkan ketidaktentuan politik yang sedang melanda pentadbiran negeri ketika ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, adalah dikhuatiri akan wujud ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri jika sidang DUN ditangguh dalam tempoh enam bulan seperti dimaklumkan.

Menurut beliau, tempoh terlalu lama itu hanya akan mengundang ketidakstabilan dan menjejaskan kelancaran urusan kerajaan.

“Jika mereka menangguhkan sehingga enam bulan, kerajaan akan diurus dalam keadaan tidak stabil dan pelbagai masalah akan timbul, sekali gus dikhuatiri akan mewujudkan ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Malah, kesan daripada itu berkemungkinan akan membuka ruang kepada pelbagai masalah baharu.

“Oleh itu, sidang DUN khas mesti dipanggil untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku demi kestabilan dan kepentingan kerajaan negeri,” katanya dipetik laporan Berita Harian, hari ini

Jalaluddin yang juga ADUN Pertang menegaskan, Yang di-Pertua DUN, MK Ibrahim Abd. Rahman, memikul tanggungjawab besar untuk memanggil sidang tersebut demi mencari penyelesaian muktamad.

“Langkah itu dilihat sebagai satu-satunya pilihan bagi mengembalikan keadaan kepada landasan biasa dan memastikan pentadbiran negeri dapat berjalan dengan lebih stabil.

“Pada pandangan saya, sidang khas dewan mesti dipanggil dalam masa terdekat, kita tiada pilihan kedua,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi mencabar Datuk Seri Aminuddin Harun supaya membubarkan DUN Negeri Sembilan bagi mendapatkan mandat baru daripada rakyat.

Beliau berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan Aminuddin tidak akan dapat mentadbir negeri dengan lancar sekiranya terus memimpin kerajaan yang didakwanya lemah dan tidak mempunyai majoriti kukuh.

“Jalan terbaik ialah bubar DUN dan buat pilihan raya negeri. Dapatkan mandat kukuh dari rakyat. Itu yang Hasni (Mohammad) lakukan masa dia jadi MB Johor.

“Tindakan Aminuddin menangguhkan sidang DUN yang sudah dirasmikan memalukan. Dia takut bayang-bayang sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Puad turut menepis dakwaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, terdapat cubaan daripada ADUN BN untuk menubuhkan “kerajaan tebuk atap” di negeri tersebut.

Tegasnya, pendirian BN Negeri Sembilan adalah jelas dan tidak wujud sebarang pakatan dengan lima ADUN PN bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

“Kenapa samakan menarik balik sokongan dengan tebuk atap?

“Tidakkah cadangan DAP untuk meletak jawatan menteri menjelang konvensyen DAP bulan Julai adalah hilang kepercayaan kepada PMX (Anwar Ibrahim)? Apakah itu tebuk atap?” soalnya merujuk kepada dakwaan sikap dwistandard pemimpin DAP tersebut.

Persidangan DUN sepatutnya bersambung semula pada minggu ini selepas dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, namun Menteri Besar mengumumkan penangguhan mengejut ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Semalam, Jalaluddin turut memaklumkan, UMNO Negeri Sembilan sudah mengemukakan permohonan untuk mengadap Yang di-Pertuan Besar bagi memaklumkan situasi terkini berhubung senario politik di negeri itu.

Katanya, parti itu mahu menyembah maklum mengenai keputusan mereka menarik sokongan kepada Aminuddin selaku Menteri Besar.

Bagaiamanapun setakat hari ini, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, belum memberi perkenaan untuk menerima pemimpin UMNO itu untuk menghadap.

Isnin lalu, 14 ADUN UMNO Negeri Sembilan menyatakan hilang keyakinan terhadap Aminuddin selaku Menteri Besar dan mempertahankan institusi adat dan perlembagaan serta undang-undang tubuh kerajaan negeri.

Secara keseluruhan DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi. Selain 14 diwakili UMNO, 17 lagi merupakan kerusi PH. Baki lima lagi kerusi diwakili PN selaku pembangkang.

Susulan pengumuman UMNO itu, lima ADUN PN Negeri Sembilan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *