Jojo Guna Sentuhan Magis Superbon, Misi Tundukkan Yoshinari di Tokyo Hari Ini

TOKYO – Bintang Muay Thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali dengan panggilan Jojo, tampil dengan keyakinan tinggi menjelang pertarungan getir di pentas ONE Samurai 1 hari ini, apabila membawa bersama ‘rahsia’ taktikal hasil bimbingan legenda Muay Thai, Superbon Singha Mawynn.

Bakal beraksi di Ariake Arena, Jojo dijadualkan berdepan wakil tuan rumah, Shimon Yoshinari dalam satu pertarungan yang dijangka sengit, dengan kedua-dua petarung membawa reputasi besar serta rekod cemerlang ke gelanggang.

Menurut Jojo, persiapan kali ini jauh lebih rapi apabila beliau bukan sahaja memperkemaskan aspek fizikal, malah memperhalusi strategi khusus bagi mengekang kekuatan utama Yoshinari yang terkenal dengan variasi sepakan berbahaya.

“Shimon mempunyai pelbagai kemahiran, terutama sepakan ‘calf kick’ yang boleh memberi kesan besar dalam pertarungan. Namun, kami tidak terlalu bimbang kerana saya sudah dibekalkan dengan formula yang tepat oleh Superbon,” katanya.

Tambah Jojo, bimbingan yang diterimanya bukan sekadar teori, sebaliknya melibatkan aplikasi teknik sebenar yang pernah digunakan Superbon untuk menumpaskan lawan bertaraf dunia.

“Beliau telah memasukkan teknik itu dalam permainan saya. Ia adalah pendekatan sama yang digunakannya ketika menewaskan Masaaki Noiri sebelum ini,” jelasnya lagi.

Momentum semasa jelas memihak kepada Jojo yang kini berada pada tahap prestasi terbaik dalam kariernya. Atlet muda negara itu hadir ke Tokyo dengan rekod dua kemenangan berturut-turut, termasuk kemenangan TKO ke atas Zakaria El Jamari pada September lalu, diikuti kemenangan mutlak ke atas Ye Yint Naung pada Februari.

Secara keseluruhan, Jojo telah mengharungi 11 pertarungan dalam ONE Championship dengan mencatat lapan kemenangan, termasuk lima menerusi knockout dan satu kemenangan TKO, selain tiga kekalahan.

Namun, cabaran yang menantinya kali ini bukan mudah. Yoshinari hadir dengan reputasi hebat sebagai antara prospek terbaik Jepun, memiliki rekod profesional 24 kemenangan dan hanya satu kekalahan sepanjang kariernya.

Lebih membimbangkan, jaguh tuan rumah itu turut menunjukkan prestasi konsisten di pentas ONE Championship dengan meraih empat kemenangan daripada lima pertarungan, termasuk dua kemenangan menerusi TKO.

Pertarungan ini bukan sahaja menjadi ujian sebenar buat Jojo dalam mengekalkan momentumnya, malah berpotensi menjadi titik penting dalam menentukan hala tuju kariernya di pentas antarabangsa. Dengan ‘senjata rahsia’ daripada Superbon, tumpuan kini terarah sama ada Jojo mampu menterjemahkan strategi tersebut untuk menjinakkan Yoshinari di hadapan penyokong lawan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *