Liverpool lupakan kemelut Salah tumpaskan Inter

MILAN, Itali – Liverpool bangkit daripada kemelut membabitkan Mohamed Salah apabila menewaskan Inter Milan 1-0, awal pagi tadi sekali gus menyemarakkan semula kempen Liga Juara-Juara mereka.

Sepakan penalti lewat Dominik Szoboszlai menghadiahkan kemenangan besar di San Siro tanpa bintang Mesir itu, yang ditinggalkan di England selepas dia mengkritik pengurus Arne Slot secara terbuka hujung minggu lalu.

Penyokong Liverpool melaungkan nama Slot pada hujung aksi hambar itu, yang ditentukan oleh keputusan pengadil Felix Zwayer menghadiahkan peluang keemasan buat juara Inggeris itu meraih tiga mata.

Pemain Inter berang sepakan penalti itu diberikan susulan insiden tarik jersi oleh Alessandro Bastoni ke atas Florian Wirtz, namun ia tetap menjadi penamat manis buat Slot selepas beberapa hari berdepan masalah.

Peluang paling hampir sebelum itu hadir apabila tandukan jarak dekat Ibrahima Konate dibatalkan selepas semakan VAR mendapati bola terkena tangan Hugo Ekitike pada minit ke-37.

Kemenangan itu membolehkan Liverpool mengumpul 12 mata selepas enam perlawanan, sekali gus berada dalam kelompok lapan teratas yang menawarkan tiket automatik ke pusingan 16 terbaik menjelang aksi awal pagi esok.

Inter pula berada di tangga kelima dengan jumlah mata sama tetapi tewas dua aksi terakhir di Eropah dan hampir tidak mencipta ancaman menentang Liverpool yang dibebani kecederaan – tanpa Salah yang memberontak, selain Cody Gakpo, Federico Chiesa dan Wataru Endo.

Musim lalu, 16 mata mencukupi untuk mengelak pusingan play-off dan skuad kendalian Cristian Chivu masih belum terjamin, dengan mereka akan menerima kunjungan Arsenal sebelum ke Borussia Dortmund bagi dua aksi terakhir fasa liga.

Satu lagi kekalahan dalam aksi besar juga meningkatkan risiko mereka tercicir daripada kelompok lapan teratas.

Perjalanan Liverpool ke Milan dibayangi kritikan luar biasa Salah terhadap Slot, yang mengakui kelmarin beliau “tidak pasti” sama ada penyerang itu sudah bermain buat kali terakhir untuk kelab.

Salah mencetus masalah apabila mendakwa dia berasa “dicampak ke bawah bas” dan tidak lagi mempunyai hubungan dengan Slot selepas diletakkan di bangku simpanan ketika seri 3-3 dengan Leeds, aksi ketiga berturut-turut dia diketepikan daripada kesebelasan utama.

Ledakan emosi itu mendorong Arab Saudi mengumumkan semalam mereka akan melakukan “apa sahaja yang boleh” untuk mendapatkan pemain berusia 33 tahun itu pada Januari depan, walaupun dia menandatangani kontrak baharu April lalu.

Liverpool hanya menang empat kali dalam 15 perlawanan sebelum pertembungan itu tetapi Inter gagal memberi tekanan awal.

Inter tidak melakukan sebarang percubaan hingga minit ke-37, manakala Liverpool – yang tidak berada pada prestasi terbaik – mempunyai peluang baik menerusi Curtis Jones dan Ryan Gravenberch sebelum tandukan Konate dibatalkan.

Namun babak kedua hambar sepenuhnya dan kedua-dua pasukan seolah-olah berpuas hati dengan keputusan seri sebelum Szoboszlai menyempurnakan penalti kemenangan. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *