SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari, menyuarakan kebimbangan serius berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan Jemaah Menteri telah membuat keputusan supaya Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Menurut beliau, keputusan sedemikian tidak seharusnya datang daripada Kabinet kerana urusan tatacara, disiplin dan kendalian Dewan Rakyat merupakan bidang kuasa eksklusif institusi legislatif, bukannya eksekutif.
Beliau merujuk kepada Perkara 62(1) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa: “Setiap Majlis boleh dari semasa ke semasa membuat peraturan-peraturan bagi mengawal atur tatacara mesyuaratnya sendiri.”
Tegasnya, peruntukan tersebut memberi kuasa mutlak kepada Dewan Rakyat untuk menentukan semua urusan tatatertib dan proses dalaman, termasuk apa-apa tindakan melibatkan seorang Ahli Parlimen.
“Hanya Dewan melalui keputusan rasmi boleh menentukan apa-apa tindakan disiplin atau rujukan kepada jawatankuasa tertentu.
“Eksekutif tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan bagaimana usul Dewan Rakyat perlu dijalankan, apatah lagi mengarahkan seorang Ahli Parlimen dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhli menjelaskan Peraturan Mesyuarat 80A dengan jelas menetapkan bahawa “Dewan boleh, dari semasa ke semasa, merujukkan apa-apa perkara kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Katanya, jawatankuasa itu hendaklah menyiasat apa-apa perkara yang dirujuk oleh Dewan dan melaporkan kembali kepada Dewan.
“Peruntukan tersebut menunjukkan hanya Dewan Rakyat, melalui proses yang berlaku ketika persidangan, berhak merujuk sesuatu isu kepada jawatankuasa tersebut.
“Jawatankuasa itu pula hanya boleh bertindak atas rujukan Dewan, bukan atas keputusan atau arahan Jemaah Menteri,” ujarnya.
Beliau menyifatkan kenyataan Azalina sebagai satu tindakan yang boleh mengundang precedent buruk dan bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen.
“Dalam sistem demokrasi, Parlimen mesti bebas daripada campur tangan eksekutif. Jika Kabinet boleh menentukan perjalanan usul atau menetapkan tindakan terhadap Ahli Parlimen, ini membuka pintu kepada pencabulan kuasa legislatif dan penghakisan doktrin pengasingan kuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, keputusan berkaitan tatatertib Ahli Dewan harus diputuskan secara bebas oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Dewan Rakyat sendiri melalui proses persidangan, dan mengikut Peraturan Mesyuarat yang sah.
“Sebarang keputusan politik eksekutif tidak boleh menggantikan peruntukan undang-undang yang mengawal institusi Parlimen.
“Menghormati sempadan kuasa antara eksekutif dan legislatif adalah asas utama keutuhan sistem demokrasi Malaysia.
“Tindakan Kabinet dalam isu ini bukan sahaja tidak mempunyai asas perundangan, malah menyentuh integriti dan kebebasan Dewan Rakyat. Urusan Dewan mesti diputuskan di dalam Dewan, bukan di meja mesyuarat Kabinet,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001