Dari Meja Editorial
DALAM sebuah rumah tangga politik, ada satu jenis anak yang sangat istimewa. Anak ini jenis kerja kurang, tetapi marah lebih. Bila berjaya, merekalah wira keluarga, bila gagal, ibu bapa pula dipersalahkan.
Dalam konteks Malaysia, naratif ini muncul kembali dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, dan sekali lagi, Perdana Menteri menjadi punching bag yang paling mudah dicapai.
Tidak sampai 24 jam keputusan diumumkan, jari-jari runcing segera menuding ke arah PM. Cepat betul. Laju betul. Seolah jawatankuasa parti masih mencari cawan kopi, tetapi keputusan “siapa bersalah” sudah pun siap diketik dalam telefon.
Benarlah kata orang, betapa mudahnya menjadi parti kesayangan PM. Walaupun kalah, kemanjaan politik tetap utuh.
Mengikut logik terbaru, PM nampaknya bertanggungjawab atas beberapa faktor, seperti kempen kurang menyengat, calon kurang menonjol, jentera tidak cukup bernafas, gerak isyarat politik yang tidak kena, dan mood pengundi Sabah yang berubah arah.
Pendek kata, kalau ada cicak jatuh ketika ceramah pun, mungkin PM juga akan dipersalahkan.
Yang peliknya, parti yang kalah itu bukanlah jenis budak baru belajar. Mereka punya pengalaman, punya sumber, punya rangkaian dan punya 40 kerusi Parlimen di Semenanjung yang sering diulang-ulang sebagai bukti kekuatan.
Tetapi bila kerusi itu mula tergoyang, bunyi yang keluar hanyalah: “Ini semua sebab PM”. Begitu mudah. Begitu ringkas. Begitu… manja.
Selama ini, setiap kali parti kalah, masyarakat menunggu dua perkara iaitu pucuk pimpinan mengadakan mesyuarat tergempar, dan pengumuman ‘kami akan lakukan post-mortem’.
Tetapi kali ini, mesyuarat entah ke mana. Post-mortem pun tidak nampak bayangnya. Yang nampak hanyalah sidang media menyalahkan Perdana Menteri.
Sepatutnya, satu mesyuarat besar-besaran diadakan. Panggil semua pemimpin, pemimpin Semenanjung, calon-calon yang tewas, jentera yang bekerja siang malam, dan penganalisis dalaman.
Campur semua mereka ini dalam satu bilik. Buka semuanya. Bincang semua pasal isu calon, isu perhubungan negeri, isu persepsi, isu nasional. Tetapi tidak. Mereka lebih mudah buat satu perenggan dan hantar kepada media: “Ini semua kerana PM”. Begitu pantas. Tuntas. Tanpa perlu buka fail pun.
Rekod tiga tahun memerintah, apa yang rakyat betul-betul rasa dan dapat? Sebenarnya, inilah bahagian paling pedas.
Tiga tahun bersama kerajaan Madani bukan suatu tempoh pendek. Jika Menteri X dan Menteri Y dari parti tersebut memegang portfolio yang sangat dekat dengan rakyat, ambil contoh, pengangkutan, bandar, kerajaan tempatan, pengundi menilai dengan sangat teliti.
Setiap isu viral, setiap keputusan tergesa-gesa, setiap dasar yang dirasakan ‘tercabut dari realiti’ akan kembali kepada logo parti mereka sendiri.
Pengundi Sabah pula mempunyai radar politik yang lebih peka. Mereka menilai bukan saja calon, tetapi prestasi menteri parti itu di Semenanjung, kerana imej nasional parti melekat pada setiap poster yang dipacak di Sabah.
Jika menteri dianggap tidak turun padang, tidak peka, atau kelihatan hidup dalam zon elitis, rakyat tidak fikir panjang. Mereka undi yang lain. Dan bila itu berlaku… Jawapan parti, ialah “Ini semua salah PM”.
Naratif bahawa parti itu kebal dengan 40 kerusi di Semenanjung adalah mitos yang sejak PRU15 belum betul-betul diuji. Pengundi bandar semakin kritikal. Hari ini mereka sokong, esok jika mereka rasa tersinggung, mereka berpusing tanpa nostalgia.
Jika trend Sabah dianggap “kecelaruan tempatan,” parti itu sedang menipu diri sendiri. Kerana apa yang berlaku di Sabah adalah bayang-bayang awal kepada apa yang boleh berlaku jika Menteri parti terus membuat keputusan kontroversial, dasar tidak mesra rakyat diteruskan, dan kemenangan lama dianggap kelonggaran untuk berlagak.
Apabila rakyat bandar mula bosan, kerusi 40 boleh jadi 30. Dan dari 30 boleh turun kepada 23. Politik Malaysia tidak pernah menjanjikan kekuatan kekal.
Ada hadnya seseorang Perdana Menteri boleh menjadi “penjaga emosi” parti komponennya. PM ada negara untuk diuruskan seperti ekonomi, pelaburan, pendidikan, keselamatan.
Beliau bukanlah guru disiplin yang tugasnya memujuk setiap kali ada parti komponen merajuk kerana kalah di gelanggang sendiri. Kalah itu biasa.
Mengakui kelemahan sendiri itu tanda matang. Tetapi, meletakkan semua pada bahu PM – itu tanda manja.
Dan, manja politik ini hanya bertahan selagi rakyat tidak bosan. Bila rakyat mula bosan, PM pun mungkin bosan. Dan ketika itu, kasih sayang politik tidak berguna lagi.
Sedarlah, politik bukan spa. Ia juga bukan tempat untuk rasa manja, dipujuk, dan dimanjakan. Politik adalah medan kerja. Medan amanah. Medan sabar.
Medan menerima hakikat bahawa rakyat tidak membeli alasan.
Jika kalah, rakyat mahu dengar, apa kelemahan calon, apa kelemahan parti, dan apa yang akan diperbaiki. Tetapi, jika parti itu sekadar memusingkan cerita kepada PM setiap kali kalah, maka satu hari nanti rakyat pula akan memusingkan undi mereka kepada pihak lain.
Kerana dalam politik, pengundi tidak menghargai parti yang manja. Mereka menghargai parti yang bekerja. Dan, jika benarlah parti itu kesayangan PM, maka sebagai parti kesayangan, ia seharusnya menunjukkan kematangan, bukan menunjuk-nunjuk ego dengan ayat: “We’re special, so we can scold PMX anytime”.
Kalau betul sayang PMX, balaslah dengan prestasi, bukan drama. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
