Oleh: Abd Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Kumpulan J muncul juara pertandingan lastik yang berlangsung di pekarangan Kedai Kopi Gundek, Kampung Gual To’ Deh, dekat sini, kelmarin.
Kumpulan tersebut mengutip lapan mata, sekali gus mengetepikan saingan 14 kumpulan lain dalam pertandingan yang disertai 60 peserta tempatan.
Semua peserta dibahagikan kepada 15 kumpulan dari A hingga O, dengan setiap kumpulan diwakili empat peserta dan dibekalkan 10 biji guli sebagai peluru.

Menurut penganjur, Alias Ghazali, pemenang ditentukan berdasarkan kutipan mata tertinggi selepas semua pusingan berakhir.
Katanya, juara menerima hadiah berupa sebuah toto (narita), dapur gas, kipas angin dan wang tunai RM100.
Naib johan dimenangi Kumpulan G dengan tujuh mata dan membawa pulang toto (narita) serta dapur gas, manakala tempat ketiga diraih Kumpulan H yang menerima sebuah kipas angin.
Dalam kategori Pembidas Terbaik, Salahuddin Arifin dari Kumpulan J dinobatkan sebagai pemenang selepas mengutip lima mata, sekali gus membawa pulang wang tunai RM300.
Tempat kedua diraih Mohd Hussin Wook dari Kumpulan G (tiga mata) dengan hadiah RM200, manakala tempat ketiga disandang Faizal A. Ghani dari Kumpulan A (dua mata) yang menerima RM100.
Alias berkata, semua 60 peserta turut menerima sehelai kain pelikat sebagai penghargaan penyertaan.
“Sambutan sangat menggalakkan dan memberi semangat kepada saya untuk meneruskan pertandingan ini pada masa akan datang.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja menghiburkan, malah mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada dua individu yang sudi menaja hadiah utama pertandingan.
“Semoga Allah melipatgandakan rezeki mereka yang bermurah hati menaja hadiah-hadiah ini,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001