KOTA KINABALU – Tidak lama selepas tirai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilabuhkan, Datuk Seri Hajiji Noor sekali lagi kembali ke tampuk pentadbiran apabila mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri untuk penggal kedua.
Upacara pelantikan Hajiji, 70, yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berlangsung sekitar jam 3 pagi tadi di Istana Seri Kinabalu di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman.
Pelantikan itu sekali gus mengesahkan dominasi GRS pada pilihan raya kali ini, selepas gabungan tersebut memenangi 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Untuk membentuk kerajaan, majoriti mudah memerlukan 37 kerusi.
GRS bertanding di 55 kerusi DUN, termasuk kerusi Sulaman yang terus dipertahankan Hajiji buat kali kesembilan dengan majoriti 8,919 undi.
Di blok pembangkang, Parti Warisan (Warisan) muncul sebagai kumpulan terbesar dengan 25 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) yang meraih enam kerusi. Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh satu kerusi, manakala lima lagi dimenangi calon Bebas.
Sebelum kerajaan baharu dimuktamadkan, beberapa siri rundingan berlangsung di sekitar bandar raya ini. Antara yang dilihat terlibat ialah Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, dan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang berkunjung ke kediaman rasmi Ketua Menteri serta ke Istana Seri Kinabalu.
Pada masa sama, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal turut hadir di Hotel Avangio, dipercayai bagi membincangkan hala tuju pasca pilihan raya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, sebagai parti yang mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, BN terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti sehaluan demi memastikan pembentukan kerajaan negeri yang stabil di Sabah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
