Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) Asas Pembinaan Kecemerlangan Murid Berdaya Saing

Oleh: Rokaid Chik

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) amat menyedari kepentingan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) dalam melahirkan generasi murid yang cemerlang, berdaya saing dan seimbang dari segi intelektual, emosi serta sosial.

Namun, timbul persoalan sejauh mana tahap keseriusan dan keutamaan diberikan bagi memperkukuh serta melonjakkan mutu pendidikan prasekolah di bawah kawalan KPM, khususnya di sekolah-sekolah rendah kebangsaan di seluruh negara.

Adakah semua sekolah rendah di Malaysia memiliki bangunan atau bilik khas yang sesuai untuk menempatkan murid prasekolah serta menggunakan khidmat tenaga pengajar muda dan profesional yang mempunyai kelayakan ijazah dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada universiti seperti UPSI dan universiti awam lain?

Dalam masa sama, persoalan turut timbul terhadap keberkesanan tadika-tadika di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta institusi prasekolah lain, adakah tenaga pengajar di institusi tersebut juga terdiri daripada golongan profesional yang berkelayakan ijazah universiti dalam bidang yang sama?

Pendidikan prasekolah, sama ada di bawah KPM, KEMAS, TABIKA Perpaduan, PASTI, mahupun institusi swasta, perlu diurus dengan lebih teratur dan profesional. Ia tidak boleh dijalankan secara sambil lewa atau dalam keadaan sesak seperti “ikan sardin”, apatah lagi menggunakan tenaga pengajar yang sudah menghampiri usia persaraan dan kurang produktif.

Kelas prasekolah di seluruh negara perlu disusun dengan bijak, menggunakan tenaga pengajar muda yang memiliki kelayakan akademik dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK). Penempatan guru juga harus diselaraskan agar seimbang dengan jumlah murid bagi memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan itu, kerajaan wajar menggubal satu dasar nasional yang konkrit dan menyeluruh bagi memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak di semua peringkat institusi. Dasar ini harus disertai dengan penyelarasan tangga gaji dan skim perkhidmatan supaya tenaga pengajar di semua institusi prasekolah mendapat pengiktirafan setimpal.

Langkah ini penting untuk mengangkat martabat pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia serta memastikan pelaksanaan kurikulum yang standard, selaras dan menepati kehendak pembangunan anak usia awal.

Matlamat utama ialah memastikan semua murid berjaya menguasai kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) sebelum mereka melangkah ke Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan.

Jika perkara ini diabaikan, ia boleh memburukkan lagi kadar keciciran, khususnya dalam kalangan murid miskin — majoritinya daripada keluarga Melayu di bandar dan luar bandar. Golongan ini akan terus ketinggalan berbanding anak-anak daripada keluarga kaya dan elit yang mampu menghantar anak mereka ke tadika berbayar dan bertaraf antarabangsa dengan kurikulum yang lebih mantap dan menyeluruh.

Sudah tiba masanya kerajaan memberikan penekanan yang lebih serius terhadap Pendidikan Awal Kanak-Kanak sebagai asas penting dalam pembentukan generasi masa depan yang berdaya saing, berilmu dan berakhlak. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *