Pembangkang Wajar Contohi Koloni Kawanan Kerbau Dalam Bentuk Pakatan Lebih Kuat

Oleh: Rokaid Chik

MENGAPA barisan pembangkang di Malaysia perlu mencontohi koloni kawanan kerbau, bukan kawanan lembu dalam usaha membentuk pakatan yang kukuh?

Ini kerana, walaupun kedua-duanya merupakan haiwan ternakan yang hampir serupa, sifat dan tabiat kawanan kerbau amat berbeza daripada kawanan lembu. Kawanan kerbau lebih mudah diurus, lebih teratur dan lebih berdisiplin berbanding lembu.

Kerbau secara semula jadinya menghormati, mengakui dan mentaati pimpinan yang lebih tua atau yang dianggap pemimpin kawanan. Mereka tidak saling menentang antara satu sama lain, sebaliknya bergerak seiring dalam satu arah yang sama.

Kerbau juga lebih mudah dipelihara dan dikawal, malah tidak memerlukan kandang yang kukuh. Cukup sekadar seutas tali kerawak dan pagar sederhana, kawanan kerbau tidak akan merempuh atau melanggar batas.

Sebaliknya, lembu sering berpecah, sukar dikawal, dan gemar bertembung sesama sendiri. Mereka cenderung merempuh kandang, melompat pagar, malah menyebabkan kerosakan kepada kelompok sendiri.

Kerbau, berbeza dengan lembu, mempunyai sifat setia kepada kawanan. Mereka tidak mudah lari atau meninggalkan kumpulan, bahkan sentiasa bergerak dalam satu barisan yang tersusun dan berpandukan kepada ketua yang dipercayai.

Oleh itu, orang Melayu dan umat Islam di Malaysia hari ini perlu bersatu di bawah satu payung besar — satu platform yang menyatukan kekuatan politik demi kepentingan bersama.

Inilah pilihan yang paling rasional dan strategik dalam menghadapi pilihan raya akan datang, khususnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pelbagai isu nasional yang kini menghimpit rakyat, termasuk soal kenegaraan, integriti, ekonomi dan perpaduan kaum, yang membuka ruang baharu untuk membentuk satu gabungan pembangkang yang kuat dan tersusun.

Ketika ini bukan lagi masanya untuk berpecah atau berebut siapa yang harus menjadi Perdana Menteri. Apa yang diperlukan ialah seorang tokoh tunggal, berpengalaman dan dihormati, yang mampu menjadi lambang penyatuan serta memandu negara keluar daripada kemelut politik semasa.

Tokoh tersebut tidak lain tidak bukan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang pemimpin yang terbukti berwibawa, berpengalaman luas, dan pernah membawa Malaysia ke mercu kejayaan. Dalam fasa transisi politik ini, negara memerlukan sosok yang matang dan mampu menyatukan semua pihak.

Barisan pembangkang boleh belajar daripada struktur kepimpinan kawanan kerbau. Dalam satu kelompok kerbau, hanya seekor sahaja yang diiktiraf sebagai ketua kawanan. Kerbau lain akan akur dan menghormati pimpinan tersebut. Hasilnya, seluruh kawanan bergerak dalam satu barisan yang padu, tanpa perebutan kuasa atau perpecahan.

Ketua kawanan itu juga berperanan sebagai pelindung, penjaga dan pengarah kepada seluruh kumpulan, memastikan keselamatan dan perpaduan kawanan sentiasa terpelihara.

Demikianlah seharusnya barisan pembangkang di Malaysia, berpaksikan semangat setiakawan, menghormati pimpinan tunggal, serta bergerak dalam satu arah untuk membentuk kekuatan bersama.

Hanya dengan semangat seperti koloni kawanan kerbau ini, pembangkang dapat menjadi satu pasukan yang mantap, tersusun, dan benar-benar mampu menjadi alternatif yang diyakini rakyat. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *