Anjur Turun Anwar 2.0: Pas Tiada Halatuju Ekonomi Yang Jelas

KUALA LUMPUR – Cadangan Pas menganjurkan demonstrasi Turun Anwar 2.0 sekali lagi membuktikan parti itu masih memilih untuk memainkan sentimen politik sempit, khususnya berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Menurut Setiausaha Parti Amanah Nasional (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil, tindakan Pas mengugut untuk turun ke jalanan jelas memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab, selain mencerminkan kecenderungan parti itu terus mempolitikkan setiap dasar kerajaan demi kepentingan politik jangka pendek.

“Kerajaan Madani sentiasa menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran undang-undang termasuk semakan kehakiman. Jika Pas benar-benar mahu memfailkan semakan kehakiman, ia akan membuktikan kerajaan bertindak mengikut lunas undang-undang dan prinsip ketelusan, berpaksikan kepentingan nasional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, amat tidak wajar bagi Pas untuk menggambarkan seolah perjanjian perdagangan berkenaan berat sebelah atau merugikan negara, sedangkan ia telah dirunding secara teliti oleh pasukan pegawai awam berkemahiran tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang perdagangan antarabangsa.

Beliau menambah, tindakan Pas memperlekehkan rundingan perjanjian tersebut tidak ubah seperti menafikan kecekapan serta menjejaskan maruah penjawat awam yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh profesionalisme.

“Perjanjian ini dirangka dengan pertimbangan mendalam terhadap kepentingan ekonomi negara, kesejahteraan rakyat serta kedudukan Malaysia di pentas global.

“Kejayaan menurunkan tarif timbal balas Amerika Syarikat terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus merupakan pencapaian terbaik yang pernah direkodkan,” ujarnya.

Kata Muhammad Faiz, kejayaan tersebut menunjukkan keupayaan pasukan rundingan Malaysia dalam memastikan setiap terma perjanjian memberi manfaat langsung kepada industri tempatan serta pemain ekonomi kecil dan sederhana (PKS).

Mengulas lanjut, beliau menegaskan tindakan Pas memperlekeh usaha kerajaan hanya menggambarkan kelemahan parti itu sendiri dalam merangka dasar ekonomi yang realistik.

“Tindakan mereka menunjukkan Pas tidak mempunyai hala tuju ekonomi yang jelas. Lebih membimbangkan, tindakan seperti ini memberi isyarat salah kepada dunia bahawa Malaysia tidak konsisten dalam dasar dan komitmen antarabangsa.

“Jika Pas memerintah, adakah mereka akan memutuskan hubungan dagang dengan Amerika Syarikat? Adakah mereka mempunyai pelan ekonomi lain apabila pekerjaan dan perniagaan PKS, yang kebanyakannya melibatkan orang Melayu dirisikokan?” soalnya.

Beliau menjelaskan, Amerika Syarikat merupakan pasaran eksport terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan bagi tahun 2024 mencecah RM325 bilion, manakala jumlah eksport Malaysia ke negara itu bernilai RM198.65 bilion.

“Angka ini menunjukkan betapa pentingnya pasaran Amerika Syarikat terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia. Ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negara dalam perdagangan global, tetapi turut membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat, khususnya orang Melayu dan anak muda,” tambahnya.

Muhammad Faiz menegaskan, setiap langkah yang diambil oleh kerajaan Madani adalah berpaksikan kepada kepentingan negara, bukan untuk kepentingan politik kepartian.

“Anjuran demonstrasi Turun Anwar 2.0 tanpa alasan kukuh adalah usaha terdesak Pas untuk menanam kebencian terhadap kerajaan. Politik kebencian seperti ini bukan sahaja tidak Islamik, tetapi boleh menggugat kestabilan dan perpaduan rakyat Malaysia.

“Kerajaan Madani akan terus komited mempertahankan dasar ekonomi negara yang terbuka, progresif dan berasaskan kepentingan rakyat.

“Kita akan terus melaksanakan tanggungjawab dengan telus dan berlandaskan undang-undang. Perjuangan kerajaan Madani bukan untuk individu atau parti, tetapi untuk memastikan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *